GEORGE TOWN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan digesa agar menyelesaikan masalah kekurangan bekalan telur ayam dengan kadar segera.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, ini kerana menerusi tinjauan CAP, kebanyakan peniaga runcit dan pasar awam mendakwa mereka sukar untuk mendapatkan bekalan telur sejak dua bulan lalu.
“Kami dapati telur ayam masih boleh diperoleh di pasar awam dan kedai runcit di sekitar Gelugor, Bayan Baru, Jelutong dan Batu Lanchang.
“Namun, peniaga runcit mendakwa mereka sukar mendapatkan bekalan kerana kuantiti yang diterima daripada pemborong adalah kurang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, isu bekalan barang keperluan terutama telur dan ayam serta harga munasabah menjadi antara fokus utama beliau.
Mohamad berkata, isu bekalan makanan dengan harga munasabah memerlukan perhatian serius seiring dengan ramalan ekonomi dunia merosot tahun hadapan yang pastinya memerlukan kaedah bagi menanganinya.
Menurut Mohideen, masalah kekurangan bekalan telur menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna berikutan makanan itu merupakan sumber protein termurah di pasaran.
“Selain kekurangan telur ayam, CAP juga mendapati ada peniaga yang menjual telur segar gred rendah sebagai telur gred premium.
“Kita mendapati, ada peniaga yang menjual telur Gred A dan B sebagai telur premium (gred AA) dengan harga 66 sen sebiji, sedangkan harga telur Gred A ditetapkan pada 45 sen sebiji dan Gred B, 43 sen,” katanya.
Oleh itu, katanya, CAP menggesa Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyiasat perkara ini kerana golongan berpendapatan sederhana akan terjejas akibat kenaikan harga barang.
“Tindakan segera perlu diambil untuk mengurangkan dan mengawal harga semua barangan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE