SEREMBAN – Bekalan telur ayam di negeri ini dijamin mencukupi meskipun terdapat permintaan dan pembelian tinggi daripada pengguna sejak kebelakangan ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) negeri, Muhammad Zahir Mazlan berkata, pihaknya akan sentiasa menjalankan pemantauan bagi memastikan bekalan telur ayam dan ayam stabil dan mencukupi.
“Kami mengambil maklum kenyataan pengguna berhubung kesukaran mendapatkan bekalan telur ayam di Negeri Sembilan. Susulan itu, lawatan dan pemantauan dilakukan dan mendapati pengeluaran di peringkat ladang berada pada tahap optimum.
“Pembekalan telur ayam peringkat pemborong dan peruncit tiada masalah, namun begitu didapati ada permintaan dan pembelian yang tinggi sejak akhir-akhir ini.
“Ini menjadikan telur ayam di sesebuah premis runcit ataupun pasar raya habis terjual dalam masa singkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, ekoran situasi itu, terdapat pasar raya yang mengambil inisiatif mengehadkan pembelian agar lebih ramai pengguna berpeluang mendapatkan bekalan di premis tersebut.
Berdasarkan rekod pemantauan stok bekalan telur ayam dari 30 November sehingga 6 Disember, sebanyak 1,828,936 biji telur ayam pelbagai gred berada di pasaran untuk menampung keperluan pengguna di Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, menerusi pemeriksaan khas di bawah Op Ayam, Telur Ayam dan Minyak Masak (OP ATM), sebanyak 1,669 pemeriksaan premis telah diperiksa sejak 23 Jun lalu sehingga ke hari ini. – KOSMO! ONLINE