PETALING JAYA – Berdepan masalah kesihatan, berubah pemarah dan kerap bermimpi ular antara situasi dialami pelakon Bella Astillah hingga terpaksa mendapatkan rawatan perubatan Islam.
Kata isteri kepada penyanyi Aliff Aziz itu, bukan hanya urusan kerja terbengkalai, gangguan dipercayai sihir atau ilmu hitam itu turut meninggalkan impak kepada keluarganya.
Akui bintang drama Aku Tanpa Cintamu itu, dia mengambil keputusan mendedahkan perkara tersebut kepada umum supaya dapat dijadikan iktibar.
“Sejujurnya saya tak suka gembur-gemburkan situasi ini, biar antara kami saja yang tahu tetapi saya kongsikan untuk kita semua ambil sebagai pengajaran.
“Saya takut nak dedahkan sebab sebelum ini tak pernah alami, kalau kalian tengok saya jarang muat naik hantaran dalam Instagram, itu bermakna saya kurang sihat.
“Sekarang saya berubat minta ustazah datang rumah. Rasanya baru lagi kami ke Sabah, tetapi pada saat akhir saya tak dapat buat persembahan apabila di hotel saya tiba-tiba sakit dan tiada suara,” katanya.
Aktres yang juga penyanyi itu memaklumkan mengenai kesulitan yang sedang dilaluinya kini menerusi wawancara menerusi program hiburan TV3, Melodi, kelmarin.
Tambah ibu kepada dua cahaya mata itu, anak bongsu mereka, Ara Adreanna turut terkena gangguan apabila menangis pada awal pagi, namun bukan berpunca daripada sebarang penyakit.
Suaminya, Aliff pula difahamkan mengalami gejala bisa seluruh badan yang mengakibatkan juara Gegar Vaganza 8 (GV8) itu lemah serta sukar bekerja.
“Setakat ini cuma Ara Adreanna setiap hari antara pukul 2 pagi sampai 4 pagi menjerit, menangis dan meracau tanpa henti tetapi doktor mengesahkan dia sihat.
“Oleh sebab itu kami terlintas nak ikhtiar dengan melakukan rawatan alternatif selepas Aliff pula rasa tak boleh nak kerja, lemau dan sakit badan.
“Sebelum ini saya tak pernah terfikir mengenai sihir walaupun mimpi ular besar, ular terputus, terbelah dua selain mimpi Ayden pegang ular berkenaan,” katanya.
Pada masa sama, Bella menegaskan sukar memaafkan individu yang melakukan perkara khurafat seperti itu terhadap dirinya dan keluarga.
Terdahulu, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016, namun bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula ketika dalam tempoh edah.
Pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean, 5, dan Ara, 2. – KOSMO! ONLINE