DOHA – Bintang sensasi Brazil, Neymar kembali pulih daripada kecederaan buku lali untuk membantu pasukan itu meraih kemenangan bergaya 4-1 menewaskan Korea Selatan awal pagi semalam untuk menempah slot pusingan suku akhir Piala Dunia Qatar.
Pemain Paris Saint-Germain itu terlepas dua perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini ekoran mengalami kecederaan ketika Brazil menundukkan Serbia 2-0 pada aksi pembukaan.
Bagaimanapun, selepas pelbagai usaha dan kaedah dilakukan oleh pasukan perubatan Brazil, Neymar disahkan pulih dan cergas untuk turun selain turut menyumbang satu gol selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-13.
Vinicius Junior membuka tirai jaringan Brazil pada minit ketujuh sebelum Neymar menjarakkan kedudukan dengan meledak gol ke-76 di peringkat antarabangsa sekali gus hanya satu gol untuk menyamai rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Selecao, Pele.
Gol ketiga Brazil hadir menerusi Richarlison sebelum Lucas Paqueta turut mencetak nama selaku penjaring dengan keempat-empat gol itu hanya dijaringkan dalam tempoh 35 minit permainan babak pertama.
Paik Seung-ho meledak gol saguhati Korea Selatan menerusi rembatan voli menarik yang menewaskan Alisson Becker sekali gus menyaksikan Brazil mara dan bakal membuat perhitungan dengan Croatia di suku akhir.
“Ini adalah masa untuk kami melangkah lebih jauh. Kami mengimpikan untuk memenangi gelaran dan sudah pasti kami perlu menyusun satu demi satu langkah.
“Perlawanan ini adalah aksi keempat, ada tiga lagi perlawanan untuk kami meraih kejuaraan. Kami perlu membuat persiapan, mentaliti dan fokus kami adalah untuk meraih kemenangan kali ini,” kata Neymar.
Pemain berusia 30 tahun itu berdepan kekecewaan dalam dua aksi sebelum ini apabila tersingkir di separuh akhir pada kempen 2014 sebelum kecundang di suku akhir empat tahun lalu apabila tewas menentang Belgium 1-2.
Sebagai rekod, Brazil tidak pernah meraih kemenangan dengan empat gol atau lebih sepanjang pusingan kalah mati di Piala Dunia sejak 1998. – AFP