PETALING JAYA – Pelakon Ungku Ismail menggesa pihak yang menyebarkan berita palsu mengenai Nad Zainal berhenti mereka cerita tidak sahih demi mengejar lonjakan rating.
Menurut Ungku Ismail, 36, laporan sebegitu tidak sepatutnya berlaku kerana mampu memberi tanggapan buruk terhadap Nad yang kini dalam proses penyembuhan.
“Berita yang keluar sebelum ini sangat mengecewakan dan harap tiada orang yang cuba ambil kesempatan buat cerita.
“Kalau anda semua prihatin, boleh cuba laporkan untuk elak perkara begini terus berleluasa. Kalau bukan dari sumber sahih, kita boleh ambil tindakan,” katanya dalam sebuah video.
Berkongsi mengenai perkembangan terbaharu pelakon drama Fatonah Azali itu, dia memberitahu keadaan kesihatan Nad masih sama seperti yang dimaklumkan sebelum ini iaitu dalam proses penyembuhan.
“Tiada apa-apa yang boleh saya kongsi pun dan keadaan dia masih sama seperti yang dimaklumkan sebelum ini.
“Dia masih berada di dalam wad Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk proses pemulihan.
“Sekarang ini, fokus utama masih tentang kesihatan Nad, jangan berhenti berdoa untuk dia agar semangatnya terus kuat dan paru-paru juga semakin sihat,” katanya lagi.
Terdahulu, Nad atau nama penuhnya Farah Nadia Zainal Abidin dimasukkan ke ICU di sebuah hospital swasta di ibu negara pada 22 November lalu kerana jangkitan kuman dan paru-paru berdarah.
Susulan itu, dia juga terpaksa ditidurkan namun dilaporkan sudah sedarkan diri pada 2 Disember lalu.
Dia bagaimanapun ditidurkan semula kerana paru-parunya masih belum cukup kuat untuk bernafas sendiri.
Sejak dimasukkan ke hospital, pelbagai berita palsu mengenai Nad disebarkan pihak bertanggungjawab antaranya dakwaan kegagalan buah pinggang akibat mengambil produk ubat kurus dan laporan kematian palsu. – KOSMO! ONLINE