fbpx

Landasan Songkhla-Padang Besar dibom lagi, 3 terbunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan daripada Unit Penyelenggaraan Hat Yai sedang berusaha membaiki landasan itu. - Thaiger

BANGKOK – Tiga pekerja penyelengaraan terbunuh dalam letupan bom yang menyasarkan landasan kereta api di wilayah Songkhla pagi ini, lapor laman berita Thaiger.

Ketiga-tiga pekerja sedang membaiki landasan yang rosak akibat satu lagi letupan bom pada Sabtu lepas. Insiden pada Sabtu lepas menyebabkan sebuah kereta api barang tergelincir dan rosak tetapi tidak mendatangkan sebarang kecederaan.

Pada pukul 12.50 tengah hari (waktu tempatan)  Sabtu lalu, kereta api barang 707 dari Hat Yai di Songkhla yang menuju ke Padang Besar di Malaysia,  tergelincir dan terbalik di mukim Tha Pho, daerah Sadao selepas bom meletup. Letupan merosakkan 11 daripada 20 gerabak kereta api. Semua empat kakitangan kereta api bagaimanapun tidak cedera.

Keesokan harinya, pegawai  tentera, polis, jabatan pentadbiran wilayah, unit pemusnah bom, dan kakitangan kereta api bersama-sama memeriksa tempat kejadian. Mereka mendapati landasan di kawasan kejadian rosak teruk.

Pegawai-pegawai turut  menemui kawah sedalam 2 meter di bawah landasan. Polis percaya letupan yang berlaku  berpunca daripada bom buatan sendiri. Gerabak yang dibom musnah sepenuhnya.

Semalam pekerja-pekerja membawa masuk  jentera untuk mengangkat dan mengalihkan serpihan. Pekerja-pekerja penyelenggaraan pula mula membaiki landasan.

Bagaimanapun hari ini, sebutir bom lain diletupkan tidak jauh dari tempat kereta api 707 tergelincir. Letupan itu membunuh tiga pekerja penyelenggaraan dan mencederakan seorang yang lain.

Polis masih belum mendedahkan nama mangsa-mangsa yang terbunuh. Polis berkata, butiran lanjut akan diberikan selepas pihaknya menjalankan siasatan.

Pasukan daripada  Unit Penyelenggaraan Hat Yai sedang berusaha membaiki landasan itu. Kawasan kejadian  masih ditutup.

Sebahagian wilayah Songkhla dianggap sebagai Zon Konflik Pemberontakan Selatan Thailand. Bagaimanapun, wilayah itu secara amnya dianggap lebih selamat berbanding Pattani, Yala dan Narathiwat, dengan kurang statistik letupan dan serangan.

Tidak jelas pada peringkat ini sama ada kedua-dua serangan itu dilakukan oleh kumpulan pemisah. – Agensi  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI