fbpx

Thai SELECT simbol menu autentik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TOM YAM dan kerabu adalah antara menu dari Thai yang sangat popular dalam kalangan rakyat tempatan.

PETALING JAYA – Sejak sekian lama makanan Thai telah menjadi sebahagian sajian yang digemari oleh masyarakat di negara ini.

Menu seperti tom yam, kari hijau, ayam paprik, siakap stim limau, pulut mangga dan lain-lain lagi adalah antara menu kegemaran ramai.

Maka tidak hairanlah banyak restoran Thai beroperasi di negara ini yang menyajikan kepelbagaian makanan khas yang berasal dari negara Gajah Putih itu.

Namun begitu, tidak semua restoran yang menyajikan makanan itu menerima pensijilan Thai SELECT.

Thai SELECT adalah pensijilan atau logo yang dianugerahkan oleh Jabatan Perdagangan Antarabangsa dan Promosi (DITP) Kementerian Perdagangan Thailand kepada restoran dan juga produk-produk yang menghidangkan serta menjual makanan autentik Thai melalui proses dan langkah memasak dengan bahan mengikut resipi Thai.

Menurut DITP, pensijilan itu dilancarkan sejak 15 tahun lalu setelah kerajaan Thailand melancarkan kempen Kitchen of the World bagi menandakan bahawa Thailand adalah hab dapur yang menyajikan makanan di seluruh dunia.

Thai SELECT melibatkan pensijilan untuk dua jenis kategori iaitu untuk restoran Thai dan juga produk makanan Thai.

MASAKAN dari negara Thai memiliki keunikannya tersendiri sehingga mampu memenuhi selera pelbagai bangsa dan agama di Malaysia.

Bagi kategori restoran Thai, pensijilan Thai SELECT diberikan kepada restoran di dalam dan luar negara dan ia dinilai mengikut jenis restoran, hiasan dalaman, kualiti makanan serta kecemerlangan perkhidmatan.

Bagi restoran di luar negara, pensijilan Thai SELECT melibatkan tiga kategori iaitu signature, classic dan casual.

Bagi pensijilan signature yang berwarna emas, ia diberikan kepada restoran mewah yang menyajikan makanan autentik Thai dengan rasa dan kualiti premium.

Bagi restoran yang mendapat anugerah Thai SELECT kategori ini, ia akan menampilkan imej masakan Thai yang memiliki ciri unik makanan negara tersebut.

Sementara itu, bagi pensijilan Thai SELECT classic yang berwarna merah pula, ia dianugerahkan kepada restoran Thai yang berkualiti tinggi dan menawarkan makanan Thai yang mempunyai kualiti rasa standard dengan servis perkhidmatan yang baik.

Sementara untuk kategori Thai SELECT casual yang berwarna biru pula dianugerahkan kepada restoran biasa atau kedai makan berkapasiti agak kecil yang menawarkan sajian makanan Thai dengan rasa Thai.

Sehingga kini, di Malaysia sebanyak 17 restoran telah menerima pensijilan Thai SELECT ini yang merangkumi ketiga-tiga kategori.

Antara restoran yang telah menerima pensijilan tersebut adalah La Moon, Mr. Tuk Tuk, Malai Thai Cuisine dan Thai Tuk Tuk.

Thai SELECT adalah pensijilan atau logo yang dianugerahkan oleh Jabatan Perdagangan Antarabangsa dan Promosi (DITP) Kementerian Perdagangan Thailand

Menjelang Mei tahun hadapan, DITP merancang untuk menambah sehingga 30 buah restoran yang mendapat pensijilan Thai SELECT.

Bagi restoran yang ingin mendapatkan pensijilan tersebut mereka boleh menghubungi DITP dan syarat untuk mendapatkan sijil berkenaan adalah restoran tersebut telah beroperasi selama enam bulan.

Pihak DITP juga akan datang secara misteri untuk mencuba makanan Thai yang ditawarkan bagi menentukan sama ada sesebuah restoran itu layak atau tidak mendapat pensijilan Thai SELECT.

Selain itu, setelah mendapat pensijilan tersebut, pihak DITP juga akan sentiasa datang ke restoran tersebut secara misteri bagi mencuba makanan agar kualiti dan mutu masakan sentiasa terjamin dan tidak berubah.

Bagi restoran yang telah mendapat pensijilan Thai SELECT juga ia akan diperbaharui setiap tiga tahun sekali.

Dalam pada itu, bagi pensijilan Thai SELECT untuk produk ia diberikan kepada produk makanan Thai yang telah disediakan mengikut gaya tradisional dan autentik Thai sendiri.

Ia merangkumi produk untuk masakan seperti sos ikan, sos cili Thai, pes tom yam, pes kari Thai dan juga produk sedia untuk dimasak dan dimakan.

Kesemua produk ini akan disertakan dengan logo Thai SELECT pada pembungkusan barangan.

Malah di Malaysia sendiri produk-produk tersebut mudah didapati di pasar raya terkemuka seperti Jaya Grocer, AEON dan lain-lain lagi.

Bagi maklumat lanjut mengenai Thai SELECT, ia boleh didapati di laman web www.thaiselect.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI