fbpx

Elak beban hutang, Tuah Adzmi beli kereta terpakai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUAH Adzmi tidak kisah menggunakan kereta terpakai demi mengelakkan dirinya terjebak dengan hutang pinjaman bank sekiranya membeli kenderaan baharu.

PETALING JAYA – Penyanyi Tuah Adzmi memberitahu dia enggan terikat hutang dengan pihak bank semata-mata untuk memiliki sebuah kereta baharu sekali gus tidak kisah menggunakan kenderaan terpakai (second hand).

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik Tuah dalam Instagram miliknya baru-baru ini, penyanyi berusia 24 tahun itu berkongsi gambar sebuah kereta jenis Satria Neo yang dihiasi riben, sebagai tanda dirinya telah membeli kereta baharu.

Tuah atau nama lengkapnya Arumi Nafis Mohd. Adzmi ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu, kenderaan tersebut merupakan kereta terpakai yang ditukar (trade in) dengan kereta yang digunakannya sebelum ini iaitu Perodua Myvi.

“Saya tidak beli kereta baharu, cuma ‘trade in’ Myvi saya dengan Satria Neo. Kereta Myvi yang saya gunakan sebelum ini sudah lama dan ada beberapa kerosakan.

“Kereta Satria Neo ini pun tidak mahal sangat dan nak jaga pun tak susah,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ketika ditanya tentang harga Satria Neo tersebut, bekas peserta program Big Stage musim keempat (BS4) itu bagaimanapun enggan mendedahkannya.

Ujar Tuah lagi, dia tidak kisah menggunakan kenderaan terpakai berbanding membeli kereta baharu kerana mahu mengelak dirinya dikelilingi hutang (loan) dengan pihak bank.

“Kalau boleh saya memang nak mengelak buat pinjaman dengan bank. Jadi saya tidak rasa terbeban walaupun tukar kereta lain. Lagipun komitmen saya banyak.

“Saya siap ambil sekali jaminan (warranty) supaya jika ada kerosakan besar, saya tidak perlu tanggung. Ambil kereta terpakai macam-macam boleh jadi.

“Kesimpulannya saya tukar kereta hanyalah untuk memudahkan urusan dan cuba berjimat-cermat,” jelasnya.

Ketika ditanya tentang keinginannya untuk memiliki sebuah kereta jenama antarabangsa suatu hari nanti, Tuah berkata, buat masa ini dia tidak terfikir pun untuk membeli kereta baharu.

Malah, jika diberikan rezeki suatu hari nanti, dia mahu membeli kereta buatan Malaysia kerana harganya yang berpatutan dan berkualiti.

Terdahulu, pelantun lagu Dusta Cinta itu pernah berdepan saat getir ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada tahun lalu ekoran penularan Covid-19 sehingga terpaksa menjual kereta jenis Mini Cooper kesayangannya dengan harga cuma RM18,000.

Tindakan itu terpaksa dilakukan kerana terdesak untuk meneruskan kelangsungan hidup. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI