HULU TERENGGANU – Seramai tiga juta pelancong disasar untuk mengunjungi Terengganu pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, sasaran tiga juta pelancong berkenaan menyamai apa yang telah dicapai pada tahun ini.
“Kita tidak bergantung semata-mata kepada produk pelancongan sedia ada iaitu rangkaian pulau, alam semula jadi, makanan, seni dan budaya unik Pantai Timur.
“Sebaliknya, kita juga telah mengatur pelbagai program dan aktiviti dalam kalendar pelancongan bagi mencapai sasaran terbabit,” katanya di Pulau Poh, Tasik Kenyir di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyampaikan hadiah pertandingan Memancing Monsun ASEAN (AMCT) yang disertai oleh 440 pemancing.
Pasukan Jertih Casting Crew (JCC) muncul juara sekali gus menggondol hadiah berupa piala pusingan, plak serta peralatan memancing bernilai RM10,000.
Dalam pada itu, Ariffin berkata, AMCT yang bertujuan mempromosi Tasik Kenyir sebagai destinasi riadah pilihan pada musim tengkujuh mencapai matlamatnya menarik penyertaan luar negara.
Jelas beliau, antara pemancing asing yang mengambil bahagian pada edisi tahun ini berasal dari Amerika Syarikat, Thailand, Singapura dan Lithuania. – KOSMO! ONLINE