PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion yang diluluskan kerajaan terdahulu dihentikan dan perlu diteliti semula.
Perdana Menteri berkata, keputusan untuk tidak meneruskan kelulusan projek itu diputuskan berikutan ia diberikan tanpa tender teratur serta melalui proses rundingan terus.
“Beberapa kelulusan terakhir termasuk projek tebatan banjir yang peruntukkannya sekitar RM15 bilion dan sebanyak RM7 bilion telah diluluskan tanpa proses tender secara teratur dan melalui rundingan terus.
“Jadi, saya minta hal itu tidak diteruskan dan diteliti semula supaya ada prinsip ketelusan dan mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya kepada pemberita di Kementerian Kewangan di sini tadi.
Terdahulu, Anwar tiba di Kementerian Kewangan kira-kira pukul 7.57 pagi bagi memulakan tugas sebagai Menteri Kewangan selepas dilantik kepada jawatan itu pada Jumaat lalu.
Sebelum ini, Anwar pernah memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan selama lapan tahun bermula tahun 1991 hingga 1998 menerusi pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – KOSMO! ONLINE