KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) gempar apabila disyaki ada berlaku kes pecah amanah dalam pengendalian akaun yang dilakukan salah seorang kakitangan persatuan tersebut yang tidak dapat dikesan.
KRM menjelaskan, kakitangan tersebut bertindak berani apabila memalsukan tandatangan Presiden dan Bendahari Kehormat yang bertujuan untuk melakukan pengeluaran wang tunai dari bank.
Bagaimanapun, jumlah kerugian masih tidak dapat dipastikan dengan persatuan sudah pun melaporkan kes tersebut kepada pihak polis selain mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.
“KRM sudah membuat satu laporan polis berkenaan kes pecah amanah yang disyaki berlaku dalam pengendalian akaun bank persatuan. Kakitangan tersebut disyaki memalsukan tandatangan untuk memasukkan namanya sebagai salah seorang penandatangan cek dan mengeluarkan wang tunai.
“Pihak KRM masih menyiasat jumlah kerugian sebenar dan akan bantu pihak polis lakukan siasatan. Bagaimanapun, KRM tetap meneruskan aktiviti-aktiviti yang dirancang untuk penghujung tahun ini,” kata persatuan itu.
Dalam perkembangan lain, KRM akan menjadi tuan rumah Kejohanan Ragbi Bawah 19 Tahun Asia yang akan berlangsung di Padang Astaka, Petaling Jaya pada 14 dan 18 Disember melibatkan Hong Kong, Korea Selatan, Taiwan dan Malaysia.
Selain itu, KRM dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) juga akan menghantar pasukan lelaki dan wanita untuk menyertai Kejohanan Ragbi 7s Bawah 18 tahun Asia di Nepal 10 hingga 11 Disember ini.
Pada masa sama, KRM juga merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan Putrajaya apabila berjaya menjuarai Piala Agong 2022 selepas menewaskan Terengganu pada perlawanan akhir Sabtu lalu. – KOSMO! ONLINE