LIVERPOOL – Penyerang Liverpool, Roberto Firmino mengakui dia memainkan peranan lebih bebas bersama Brazil jika dibandingkan ketika menyarung jersi The Reds.
Pada saingan musim ini, dia masih belum menjaringkan gol bersama Liverpool, namun Firmino berjaya meledak dua gol ketika membantu Brazil membelasah Bolivia 5-0 Sabtu lalu.
Justeru, ia membuktikan pemain Brazil itu masih berbisa di depan gol sekiranya tidak beraksi dengan taktikal yang diberikan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.
Firmino berkata, jurulatih Brazil, Tite mengarahkan dia memainkan peranan lebih bebas dan kekal berada dalam kawasan penalti pasukan lawan.
“Beliau (Tite) memang minta saya bantu pemain-pemain lain tetapi untuk keseluruhan aksi, saya lebih banyak berada dalam kotak penalti pasukan lawan.
“Saya masih perlu bantu untuk mengejar bola tetapi tidak sama seperti di Liverpool. Agak kekok pada mulanya kerana peranan saya berbeza di Liverpool,” kata Firmino.
Selain itu, Firmino juga gembira untuk menjaringkan dua gol bersama Brazil, lebih-lebih lagi dia tekad membantu negaranya mara ke Piala Dunia 2022. – AGENSI