PUTRAJAYA- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) telah mengambil tindakan segera berkait isu penipuan label telur premium untuk meraih keuntungan berganda.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNKSH, Azman Adam berkata, harga telur jenis premium tidak dikawal sebaliknya kerajaan melalui kementerian telah menetapkan harga ladang, borong dan runcit maksimum bagi telur ayam gred A, B dan C.
Menurutnya, penetapan tersebut di bawah perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Ayam Dan Telur Ayam) 2022 berkuat kuasa pada 5 Februari lalu.
“Susulan isu ini, pihak kementerian telah mengambil beberapa sampel telur premium yang dijual di pasaran di beberapa premis yang terpilih.
“Sampel telur ini akan dihantar untuk dilakukan ujian bagi mengetahui kandungan telur tersebut adalah tepat sepertimana yang didakwa oleh pihak pengeluar, pemborong dan peruncit terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini tadi.
Azman berkata, tindakan penguatkuasaan boleh diambil selepas keputusan ujian makmal diterima dan didapati telur yang diuji tidak premium seperti yang didakwa oleh pihak berkaitan.
“Mana-mana pihak yang membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan atau saiz boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang dibaca bersama Seksyen 6(1)(b).
“Individu yang melakukan kesalahan itu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan syarikat boleh didenda sehingga RM250,000,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang tahun ini, sebanyak 291 aduan berhubung telur ayam telah diterima meliputi 117 aduan berhubung gred telur dan 174 aduan umum mengenai telur ayam. – KOSMO! ONLINE.