DOHA – Penjaga gol utama Maghribi, Yassine Bounou optimis peluang pasukannya untuk mara ke suku akhir saingan Piala Dunia masih terbuka meskipun berdepan cabaran sukar bertemu Sepanyol pada pusingan 16 terbaik malam ini.
Sebagai rekod, Maghribi menjadi salah satu negara yang mencipta kejutan tersendiri pada kempen kali ini apabila menjuarai Kumpulan F dengan mengejutkan pasukan pilihan seperti Belgium, Kanada dan Croatia.
Bounou yang bermain dengan kelab Liga Sepanyol, Sevilla menyeru agar rakan-rakan sepasukan mengulangi semula ‘magis’ yang dipamerkan pada saingan peringkat kumpulan tanpa menghiraukan status La Roja yang dianggap sebagai pilihan utama untuk mara.
“Secara jujur, saya tidak puas meskipun sudah mencipta sejarah buat negara dengan mara ke peringkat 16 terbaik meskipun tidak diletakkan harapan tinggi oleh mana-mana pihak.
“Namun, saya masih merasakan ada potensi untuk kami terus mencipta kejutan dengan menyingkirkan Sepanyol sekali gus mara ke pusingan suku akhir buat kali pertama nanti.
“Apa yang kami lakukan sepanjang lebih dua minggu ini menggembirakan rakyat Maghribi dan kami tidak mahu mengecewakan mereka.
“Kita tahu kualiti yang ada pada Sepanyol dengan kepakaran mereka mendominasi perlawanan dan saya mahu barisan pemain kekal disiplin sekali gus tidak termakan sebarang helah pasukan lawan,” kata pemain berusia 31 tahun itu.
Sementara itu, pengendali Atlas Lions, Walid Regragui menyeru agar pemain tidak melepaskan peluang keemasan untuk melakar sejarah baharu dengan mara ke peringkat suku akhir kali ini.
“Buat masa ini saya mahu tumpuan diberikan sepenuhnya kepada aksi menentang Sepanyol. Namun, jika ditanya mengenai sasaran peribadi, kenapa kita tidak mahu mara sejauh mungkin atau bergelar juara sekiranya mampu berbuat demikian,” kata Regragui.
Kejayaan Maghribi menjuarai Kumpulan F membolehkan Persatuan Bola Sepak DiRaja Maghribi (FRMF) menerima habuan wang tunai sebanyak AS$13 juta (RM56.7 juta).
Nilai tersebut akan bertambah menjadi AS$17 juta (RM74.5 juta) seandainya mereka mara ke peringkat suku akhir nanti. – AGENSI