JOHOR BAHRU – Keghairahan kaki judi untuk bertaruh dalam judi Piala Dunia bukan sahaja membuatkan mereka terpaksa meminjam wang daripada ah long, malah dipinggirkan rakan dan ahli keluarga kerana gagal melunaskan hutang selepas kalah teruk.
Kaki judi sanggup mengambil risiko untuk meminjam dengan rakan untuk melangsaikan hutang terunggak dengan bookie atau penganjur kerana ketagih berjudi.
Golongan ini akan melakukan apa sahaja termasuk menggadai tangungjawab sebagai ketua keluarga dengan mengabai anak-anak dan isteri yang memerlukan perhatian dan kasih sayang.
Seorang kaki judi dikenali sebagai Lim, 45, berkata, dia mula terjebak dengan pertaruhan Piala Dunia sejak Brazil menjadi tuan rumah pada 2014.
Katanya, ketagihannya berterusan sebaik Piala Dunia Qatar membuka tirai sejak 22 November lalu.
“Saya terjebak apabila kawan-kawan mengajak berjudi untuk suka-suka, tetapi bila saya menang dalam pertaruhan pasukan mana menang, saya jadi seronok sebab dapat pulangan agak baik mengikut pertaruhan yang kita buat.
“Bila kalah, saya terpaksa membayar dua kali ganda daripada taruhan dan mula gelisah sebab duit tak cukup. Saya terpaksa pinjam daripada isteri dan minta kawan masukkan duit untuk saya langsaikan hutang bookie,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut bapa kepada tiga anak itu, sejak itu hubungan dengan isteri, anak-anak dan kawan-kawan mula renggang selepas mereka mendapat tahu dia meminjam duit untuk membayar hutang judi.
Seorang lagi kaki judi yang mahu dikenali sebagai Lee, 50, mengaku terjebak dengan judi seawal usia 20-an dan masih sukar dikikis dalam dirinya.
Katanya, musim Piala Dunia Qatar adalah kesempatan yang menyeronokkan bagi mendapatkan wang secara mudah dengan hanya meneka keputusan perlawanan sambil minum kopi.
“Main judi suka-suka saja, seronok dapat duit mudah kalau menang, kalau kalah bayar dan kita teka lagi pilih pasukan yang hebat.
“Perlawanan biasa main tengah malam atau lewat pagi, kami sanggup keluar lepak di kedai kopi atau restoran mamak sehingga larut malam, balik rumah anak bini sudah tidur,” katanya.
Jelasnya, dia pernah mendapat wang ganjaran sebanyak RM3,000 selepas menang dalam pertaruhan untuk satu perlawanan dan juga pernah mengalami kerugian setelah pasukan yang disokong kalah.
“Kalau kita menang, dapat untung sekali ganda, kalau kalah rugi pun sama. Mula-mula main dengan wang sikit sahaja, lama-lama makin seronok bertaruh sehingga ribuan ringgit,” katanya.
Berita berkaitan: Bookie jadi kaya raya sempena Piala Dunia