JAKARTA – Seorang lelaki yang memutuskan pertunangannya tiga hari sebelum majlis pernikahan berlangsung, bertindak mengadakan persandingan olok-olok bersama seorang saudara perempuan bagi mengelakkan keluarganya mendapat malu besar, lapor laman berita Pikiran Rakyat.
Lelaki tersebut, Ryan Dono mendedahkan perkara itu selepas timbul banyak salah faham di media sosial mengenai dakwaan bekas tunangnya bahawa dia memutuskan pertunangan kerana mahu berkahwin dengan wanita lain.
Menurut Ryan, dia memutuskan pertunangan dengan wanita berkenaan, Yessy, selepas gadis itu meminta geran rumah sebagai mas kahwin pada saat-saat akhir.
Bagi menutup malu, Ryan dan keluarganya membuat keputusan meneruskan majlis perkahwinan yang sudah dijadualkan dengan cara mengadakan resepsi palsu bersama seorang saudara perempuannya.
Ketika acara berlangsung, tetamu undangan tidak mengetahui bahawa ‘pengantin perempuan’ bukan isteri Ryan sebaliknya, dia hanya ‘berlakon’.
“Ibu saya mencadangkan supaya kami meneruskan majlis yang telah dirancang demi menjaga aib keluarga. Saya juga tidak mempersoalkan rancangan itu,” katanya.
Tambah Ryan, tujuan majlis itu diteruskan salah satu daripadanya adalah untuk menjaga aib pengantin perempuan namun, Yessy sendiri telah ‘membuka pekung di dada’ menerusi media sosial dan membuat dia kelihatan seperti pihak yang menjadi mangsa.
“Begitulah maksud saya, jangan sampai diheboh-heboh hal ini kerana akhirnya anda yang malu,” kata ibu Ryan.
Tambah Ryan, meskipun berasa sedih kerana tidak dapat meneruskan perkahwinan dengan Yessy, dia berusaha untuk kekal tabah.
“Saya berusaha untuk tabah dan tidak mahu ibu bapa melihat saya sedih. Saya berusaha untuk menjadi tabah di hadapan tetamu undangan tetapi di sebaliknya, saya amat sedih.
“Di hati kecil saya, saya tidak mempunyai dendam (terhadap Yessy). Walau bagaimana sekali pun dia menghina saya, saya tetap sabar dan diam,” ujar Ryan. – Agensi