LONDON – Seorang kanak-kanak berusia dua tahun hampir memakan seekor cacing yang ditemui dalam jejari ikan jenama Eye Fish sebelum ibunya pantas menyedari kehadiran haiwan itu, lapor akhbar Daily Star semalam.
Rona Lovell, 28, mendakwa bahawa dia membeli jejari ikan tersebut di rangkaian pasar raya Asda di North Yorkshire, England.
Dia ketika itu mahu memberi makanan tersebut kepada anaknya, Scarlett apabila menyedari terdapat seekor cacing dalam jejari ikan itu.
Beberapa gambar yang dikongsi Lovell menunjukkan cacing itu berada pada hujung pinggan dengan panjangnya menyamai jejari garfu.
“Saya menemui cacing itu selepas memotong jejari ikan dan melihat terdapat ‘objek’ berwarna hijau di dalam makanan itu.
“Saya terus hilang selera makan. Ia amat memualkan,” katanya.
Kata Lovell, dia telah memberitahu perkara itu kepada jenama Birds Eye dan setakat ini, masih belum mendapat maklum balas.
“Saya ingin menasihati anda semua bahawa walaupun anda menyangka produk itu bagus, lebih baik sekiranya anda memeriksa semula keadaan makanannya.
“Produk-produk itu mungkin mempunyai parasit atau cacing, namun ia bukanlah sesuatu yang bagus untuk menemuinya pada makanan terutamanya makanan anak anda,” kata Lovell. – Agensi