PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan cuaca signifikan bermula esok sehingga 12 Disember depan.
MetMalaysia menerusi kenyataannya berkata, berdasarkan analisis model-model cuaca, angin timuran kencang dijangka tertumpu di kawasan pantai timur Semenanjung bermula Rabu ini sehingga 10 Disember.
Tambahnya, keadaan ini seterusnya berpotensi menghasilkan hujan berterusan di kawasan-kawasan terlibat.
“Amaran hujan lebat berterusan peringkat waspada melibatkan negeri-negeri di pantai timur Semenanjung bermula Rabu sehingga Jumaat ini,” katanya menerusi satu hantaran.
Dalam pada itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora dengan kelajuan 40 ke 50 Kilometer sejam (ketinggian ombak 2.5 ke 3.5 meter) melibatkan tiga kawasan iaitu Condore, Reef North dan Layang-layang bermula rabu sehingga 12 Disember ini.
Rentetan itu, orang awam adalah disarankan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat yang terkini dan sahih. – KOSMO! ONLINE