fbpx

16 Baris rentas bakat hip-hop serantau, antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JOE Flizzow menjanjikan 16 Baris musim ketiga dengan rentak muzik hip-hop lebih bertenaga daripada setiap pemuzik yang mengambil bahagian.

SELEPAS terhenti dek pandemik, rancangan pencarian bakat hip-hop yang paling diraikan di rantau Asia iaitu 16 Baris kini kembali dengan musim ketiga.

Menjanjikan lebih banyak aksi luar biasa berbanding musim-musim terdahulu, 16 Baris edisi kali ini memperkenalkan bakat-bakat baharu dalam dunia hip-hop.

Masih mengekalkan format yang sama, rancangan tersebut bakal menampilkan sutradara hip-hop tersohor, Shahrin Bahar yang pernah menghasilkan video muzik hebat seperti lagu Ciao, Veto dan terbaharu Swipe.

Joe Flizzow selaku pencetus idea rancangan tersebut berkata, musim ketiga akan menampilkan lebih banyak rentak dan muzik hip-hop daripada setiap pemuzik dan penerbit yang bersaing.

“Dengan begitu ramai bakat baharu, setiap peserta mempunyai potensi untuk menjadi bintang hip-hop seterusnya.

“Pastikan ikuti perkembangan bakat-bakat serantau dari negara jiran seperti Thailand, Filipina, Singapura dan Indonesia. Kami gembira dengan penyertaan yang merentasi rantau,” ujarnya teruja.

DENGAN misi memperkenalkan bakat baharu hip-hop, 16 Baris turut bertujuan menjadi platform menghimpunkan komuniti hip-hop serantau dan antarabangsa.

Komuniti

Kemasukan ramai bakat serantau dan antarabangsa juga akan menyaksikan variasi penyampai lirik hip-hop dalam pelbagai bahasa dan dialek.

“Itulah naratif sebenar 16 Baris, lebih besar daripada hip-hop sendiri. Bertujuan menyatukan dan menghidupkan lagi komuniti ini, serta pada waktu sama memperkenalkan bakat-bakat baharu yang ada,” jelas Joe.

Pada masa sama, penyanyi lagu Satu Malam di Temasek itu juga turut menegaskan, rancangan tersebut memberi peluang kepada semua tanpa mengira status.

Peluang terbuka tidak mengira jantina, bangsa dan warna kulit kerana semua orang berhak dihormati secara saksama.

“Sejarah muzik membuktikan bahawa wanita merupakan antara penyanyi rap paling hebat dalam industri.

“Contohnya ikon-ikon agung seperti Lauryn Hill, Missy Elliot dan ramai lagi,” ujarnya.

Justeru, Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, 43, berharap, 16 Baris terus memberi inspirasi kepada semua yang menyimpan harapan untuk terus berusaha dan memperhebat bakat mereka.

Menerima banyak penyertaan untuk musim kali ini, Joe bagaimanapun memohon maaf kerana tidak dapat menyenaraikan semua orang tetapi berharap mereka yang berminat akan menanti untuk musim keempat kelak.

Musim ketiga program tersebut yang dipersembahkan oleh Tune Talk kini sudah boleh ditonton dalam saluran YouTube rasmi 16 Baris.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI