fbpx

‘Jangan sesekali pisahkan lima anak OKU kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. HASSAN (kiri) dan Norain (dua dari kiri) melayan anak-anak mereka selepas menerima sumbangan daripada Pasar Raya Econsave Cash & Carry yang disampaikan Mas Imran Adam ketika kunjungan ke rumah keluarga tersebut di PPR Sri Stulang, Johor Bahru baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Di sebalik segala penderitaan akibat menghidap penyakit kronik, sepasang suami isteri yang mendiami rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang di sini, tetap cekal membesarkan enam anak mereka termasuk lima yang bergelar orang kelainan upaya (OKU).

Norain Zailani, 34, berkata, dia menghidap pelbagai penyakit antaranya serangan sistem imun badan iaitu Sistemik Lupus Eri­tematosus (SLE) dan penyakit kulit yang kronik, Diskoid Lupus Eritematosus (DLE).

Malah, suri rumah yang kini hamil lima bulan itu turut menghidap ketumbuhan di salur mata, payu dara dan rahim.

Lebih menyedihkan apabila suaminya, Mohd. Hassan Basri, 40, yang merupakan tulang belakang keluarga turut disahkan menghidap penyakit jantung dan kanser usus kronik.

“Sejak menghidap penyakit jantung, suami tidak lagi bekerja sebagai pengutip barang lusuh dan kini hanya duduk di rumah untuk menjaga anak.

“Dalam keadaan kami yang masing-masing menghidap pe­nyakit kronik, saya tetap risau dengan masa depan anak-anak yang masih kecil,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Norain, hanya anak bongsu mereka yang berusia dua tahun dikategorikan sebagai normal, manakala anak lain yang berusia empat hingga 11 tahun disahkan OKU kategori Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) atau Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif.

Tambahnya, mereka kini ha­nya bergantung kepada bantuan Baitulmal RM400 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM1,000 bagi meneruskan kehidupan.

“Saya risau mengenang nasib anak-anak bila saya dan suami sudah tidak ada nanti, siapa nak jaga mereka ini. Saya pernah minta mereka diletakkan di pusat jagaan OKU, asalkan mereka tidak dipisahkan,” katanya.

Bagaimanapun, nasib malang keluarga itu mendapat ihsan da­ripada Pasar Raya Econsave Cash And Carry yang tampil menyumbangkan barangan keperluan.

Pengurus Besarnya, Mas Imran Adam berkata, pihaknya memberi sumbangan barangan dan kelengkapan persekolahan kepada keluarga tersebut.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 01002-41-00007440-4 atas nama Norain Zailani atau hubungi di talian 011-63640049.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI