fbpx

Mahkamah: Permohonan Siti Bainun gantung bicara bela diri ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menolak permohonan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali untuk menggantung (stay) bicara bela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella.

Hakim Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendapati permohonan Siti Bainun, 30, adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

“Kesimpulannya saya dapati tiada keadaan khas atau istimewa dalam kes ini dan tindakan permohonan bagi penggantungan prosiding di mahkamah ini bagi kes ini adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah. Oleh demikian permohonan permohon (Siti Bainun) adalah dengan ini ditolak,” kata hakim Izralizam.

Terdahulu dalam permohonan yang difailkan melalui peguam belanya, Siti Bainun memohon supaya perbicaraan bela diri itu digantung yang mana antara alasannya Hakim Mahkamah Sesyen tidak mempertimbangkan pertuduhan-pertuduhan yang didakwa selain pertuduhan-pertuduhan tersebut adalah cacat dan memperjudiskanya.

Sementara itu berhubung dengan permohonan pihak pembelaan bagi penangguhan bicara kerana Siti Bainun tidak hadir selepas dimasukkan ke hospital, keputusan bagi permohonan itu akan diketahui petang ini.

Pada 24 November lalu, Siti Bainun Ahd Razali diperintah membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella.

Hakim Izralizam membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap dua pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan.

Untuk rekod perbicaraan kes itu bermula 30 Mac lalu (2022) dan antara saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan ialah mangsa iaitu Bella, pakar psikiatri Dr. Wan Asyikin Wan Azlan, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin, pakar bedah plastik, Dr. Salmi Mohamed Shukur.

Selain itu ialah bekas penghuni Rumah Bonda Yasmin Nahar Mahmood, 19, yang merupakan saksi pendakwaan kelima.

Siti Bainun menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI