KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadangkan supaya memberi bantuan kewangan, sekurang-kurangnya RM500 kepada golongan berpendapatan 20 peratus terendah yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang dan Sabah.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, golongan berkenaan kebiasaannya tidak memiliki simpanan, malah tempoh pengumuman yang singkat tidak memungkinkan mereka membuat sebarang persediaan.
“Lebih-lebih lagi golongan yang bekerja sendiri, pelaksanaan PKPB ini dikhuatiri akan memberi impak yang sangat berat kepada peniaga kecil seperti yang menjual goreng pisang, nasi lemak dan cendol di jalanan.
“Lagipun umum mengetahui golongan marhaen seperti ini tidak memiliki tabungan, laporan sebelum ini menyatakan ramai yang tidak memiliki simpanan untuk sebulan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambah Baharom, tempoh moratorium automatik yang baharu tamat mengeruhkan keadaan dan beliau menjangkakan ramai yang terpaksa memohon untuk menerima bantuan kewangan bersasar daripada bank-bank.
“Meskipun di atas kertas, nampak mudah bagi mereka menghantar permohonan kepada institusi perbankan. Sebenarnya golongan peniaga kecil dan mikro bakal berdepan dengan masalah sama ada permohonan tersebut lulus atau sebaliknya,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia, Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pelaksanaan PKPB akan mempengaruhi psikologi orang awam untuk berbelanja dan ia sedikit sebanyak akan menjejaskan perniagaan.
“Apabila tidak keluar rumah, pengguna juga tidak akan berbelanja dan saya kira, ramai yang akan mengambil langkah untuk berjimat cermat dalam keadaan sekarang.
“Apatah lagi moratorium automatik telah berakhir bulan lalu dan ini akan menyebabkan masyarakat lebih tertumpu membayar komitmen bulanan daripada berbelanja,” ujarnya.