DOHA – Penolong jurulatih Korea Selatan, Sergio Costa merasakan adalah sesuatu yang tidak adil untuk membandingkan skuad sekarang dengan generasi emas dimiliki Taegeuk Warriors 20 tahun lalu.
Selepas cemerlang untuk melangkah ke pusingan kalah mati, Korea Selatan terpaksa pula berdepan ujian lebih berat apabila dijadualkan menentang pasukan paling berjaya dalam pertandingan Piala Dunia, Brazil pada pusingan 16 terbaik di Stadium 974 awal pagi esok.
Bagaimanapun, jurulatih itu bertegas, tidak salah untuk mengimbau kejayaan lampau, namun pada masa sama semua orang harus berbangga dengan pencapaian yang diraih pasukan ketika ini.
“Saya tidak boleh bandingkan kerana ketika itu (Piala Dunia 2002) saya menyaksikannya di televisyen dan saya juga tidak kenal mereka secara peribadi. Saya ada menyaksikan perlawanan yang lepas tetapi saya tidak boleh bandingkannya kerana saya tidak kenal pasukan ketika itu.
“Saya boleh katakan tentang apa yang kita ada sekarang, kami miliki pasukan yang cukup jujur. Kita dapat lihat pemain memiliki personaliti dan mereka sebenarnya berhak untuk dapat apa yang diraih sekarang,” katanya.
Sementara itu, kapten Korea Selatan, Son Heung Min dikatakan mengidam satu lagi keajaiban dengan menewaskan Brazil yang dilabel sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai pertandingan kali ini.
Sekalipun tugas menanti pasukan agak sukar, bintang Tottenham Hotspur itu bertegas seluruh pasukan belum lagi bersedia untuk pulang awal dan mahu kekal lebih lama di bumi Qatar.
“Kami sentiasa bercakap tentang kejayaan mara ke pusingan 16 terbaik dan sekarang kami patut mencuba untuk mara lebih jauh. Saya harap kami mampu cipta satu lagi keajaiban.” – AGENSI