fbpx

DUN Tioman medan uji kaji politik ‘Malaysia baharu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN, WAKIL BIRO PAHANG

7 Disember merupakan tarikh penting yang pastinya mendebarkan kerana ia menjadi hari pengundian terakhir bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pi­li­han Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kerusi DUN Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandangnya, Datuk Seri Johari Hussain, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd. Fadzli Mohd. Ramly (Pakatan Harapan) dan Nor Idayu Hashim (Perikatan Nasional).

Mungkin ada yang menganggap apa sahaja keputusan, siapa yang menang tidak dapat me­ngubah apa-apa kerana kerajaan negeri dan Persekutuan telah dibentuk antara PH dan BN.

Namun, hakikatnya DUN Tioman yang majoritinya Me­layu amat penting sebagai pe­nanda aras mengenai hala tuju politik negara.

Persoalan khusus penerimaan orang Melayu khususnya di kawasan itu terhadap jajaran politik baharu BN dan PH yang bersama DAP dapat disimpulkan menjelang 7 Disember ini.

Jika BN mampu mempertahankan kerusi itu meskipun dalam jajaran politik baharu bersama DAP bermakna kerjasama itu bukan satu isu besar bagi orang Melayu sekali gus menyaksikan kemunculan era ‘Malaysia Baharu’.

Namun, jika BN yang tidak pernah kalah di DUN Tioman tewas lebih-lebih lagi pengundi luar tidak dapat pulang ia menunjukkan isyarat bahawa jajaran politik era Malaysia Baharu itu tidak di­terima masyarakat Melayu.

Keputusan DUN Tioman yang mempunyai 28,462 pengundi dengan 84 peratus adalah M­elayu akan menjadi panduan dan resepi bagi setiap parti politik dalam mencongak percaturan seterusnya bagi berdepan pilihan raya akan datang termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan PRU DUN Tioman sebagai keputusan tertangguh berkata, PN perlu mendapat kemenangan besar sebagai tanda protes terhadap jajaran politik baharu itu.

Bagi Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu menyifatkan kerjasama BN dan PH menjadi babak baharu dalam membina Malaysia baharu.

Katanya, DUN Tioman me­nyaksikan bermulanya satu peristiwa besar kerjasama BN dan PH dalam membina Malaysia Baharu di bawah gagasan dua parti tersebut bagi membawa keharmonian kepada rakyat seterusnya menjadikan Malaysia lebih gemilang.

Selain itu, DUN Tioman sudah tentu memberikan pengajaran bermakna buat semua parti agar tidak leka dan tidak menganggap mudah semua kerusi sama ada yang dianggap kubu kuat mereka selama ini.

Soal calon turun padang, isu setempat dan pembangunan yang dibawa hendaklah diberi perhatian dan seiring, Jangan berkempen baru nampak muka, tetapi bila menang kembali ke ibu negara untuk berehat dan meraikan kemenangan.

Dalam soal ini, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan wakil rakyat supaya turun padang bekerja dan jangan menjadi wakil rakyat untuk mencipta kekayaaan diri.

Jelas baginda, menjadi ­wakil rakyat bukanlah gah pada gela­ran Yang Berhormat (YB), tetapi menjadi wakil kepada masyarakat bagi menyelesaikan masalah setempat.

Baginda yang berjanji akan membuat spot check bertitah, jangan pula apabila mendapat tahu ba­ginda turun barulah wa­kil rakyat tunjuk muka kerana baginda tahu siapa yang bekerja dan sebaliknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI