DOHA – Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni memuji ketenangan yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya untuk mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 dengan menewaskan Australia 2-1 pada pusingan 16 terbaik awal pagi semalam.
Dalam perlawanan di Stadium Ahmed bin Ali itu, skuad La Albiceleste meraih gol menerusi jaringan Lionel Messi dan Julian Alvarez, manakala pasukan The Socceroos mendapat tuah hasil gol sendiri yang dilakukan oleh pertahanan lawan, Enzo Fernandez.
Kata Scaloni, perlawanan menentang Australia tidak semudah yang disangka kerana wakil benua Asia itu memberikan tentangan yang cukup sengit khususnya pada penghujung perlawanan sehingga hampir mendapatkan jaringan penyamaan.
“Pasukan telah mengharungi tiga perlawanan cukup luar biasa kerana kita boleh tersingkir daripada salah satu perlawanan tersebut seandainya gagal meraih keputusan yang diharapkan.
“Namun, barisan pemain telah menunjukkan prestasi yang baik serta kematangan di atas padang dalam memastikan perlawanan kali ini berakhir dengan tempoh 90 minit.
“Saya teruja barisan pemain masih percaya dengan falsafah bola sepak yang saya cuba terapkan meskipun harus diakui mereka sedikit tertekan pada penghujung saingan selepas Australia berjaya merapatkan kedudukan menjadi 1-2.
“Apa yang pasti, tumpuan kini perlu diberikan kepada perlawanan suku akhir menentang Belanda yang kita tahu memiliki kualiti tersendiri dan ia bakal jadi pertembungan epik untuk disaksikan,” kata Scaloni.
Sementara itu, tonggak tengah Argentina, Alexis Mac Allister percaya kejayaan pasukan untuk melangkah ke kelompok lapan pasukan terbaik terletak di tangan kapten, Messi yang menjaringkan satu gol pada perlawanan tersebut.
“Ketika semua pemain agak gemuruh di atas padang, Messi telah menunjukkan ketenangan dan pamer prestasi terbaiknya untuk meledak gol pembukaan, sekali gus membolehkan pasukan beraksi seperti biasa.
“Saya percaya dia akan terus menjadi sandaran pasukan dalam usaha melangkah sejauh mungkin pada kempen kali ini,” kata pemain kelab Brighton berusia 24 tahun itu.
Sebagai rekod, Argentina memburu trofi Piala Dunia buat kali ketiga dalam sejarah sejak kali terakhir memenangi kejohanan bola sepak terbesar itu pada edisi 1986. – AGENSI