BEIJING – Satu rakaman video memaparkan seekor kucing dihalau keluar dari sebuah kereta api laju di China menjadi tular di media sosial, lapor akhbar Daily Mail.
Pekerja kereta api mengusir kucing berwarna oren atau lebih sering digelar Oyen, kerana haiwan tersebut membuat perjalanan tanpa memiliki tiket.
Rakaman video itu disiarkan di laman Douyin iaitu aplikasi TikTok versi China.
Ia menunjukkan kucing itu menyusup masuk ke dalam gerabak kereta api laju di sebuah stesen kereta api di wilayah Inner Mongolia, Ahad lalu.
Sebaik menyedari kehadiran tetamu tidak diundang itu seorang pekerja kereta api menangkap kucing berkenaan dan menjinjingnya hingga ke pintu kereta api.
Dia kemudian meletakkan kucing itu di atas platform stesen kereta api.
Klip video tersebut mencatatkan berjuta-juta tontonan selepas ia dimuat naik oleh seorang wanita yang juga penumpang kereta api laju berkenaan.
“Penumpang berbulu itu diusir kerana enggan membeli tiket perjalanan,” katanya dalam keterangan pada klip video berkenaan.
Rata-rata, netizen menyifatkan aksi kucing dan pekerja itu melucukan.
“Ini sangat comel. Lihat cara kucing ini berjalan, selangkah demi selangkah,” kata seorang pengguna.
Beberapa netizen lain menyangkal bahawa Oyen adalah kucing terbiar sebaliknya haiwan itu terpisah daripada tuannya. – Agensi