PETALING JAYA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu akur dan berhenti mempertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan bekas Perdana Menteri ke-8 itu menunjukkan sisi sebenar beliau apabila gagal dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Ini kerana tidak sampai 24 jam kabinet angkat sumpah beliau menuduh pembentukan kerajaan dan kabinet tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat yang tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara.
“Namun, Muhyiddin lupa pelantikan Perdana Menteri atas kuasa Baginda Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Pelantikan yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong. Ini juga selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Tambah Timbalan Perdana Menteri itu, perbincangan khas berkenaan juga untuk Yang di-Pertuan Agong mendapat pandangan raja-raja Melayu untuk membolehkan Seri Paduka Baginda membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.
Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, pelantikan Perdana Menteri dan ahli jemaah menteri perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.
“Justeru, Muhyiddin perlu menghormati segala pelantikan ini dan tindakan dan sekutunya yang cuba mempertikaikan segala pelantikan ini adalah gambaran wajah sebenar beliau dan sekutunya yang tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu.
Tegasnya, Muhyiddin dan sekutunya perlu belajar menjadi pembangkang yang berwibawa dan bukannya merengek kerana tidak dapat menerima hakikat gagal menjadi perdana menteri dan membentuk kerajaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kritikan Muhyiddin berhubung tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memegang jawatan Menteri Kewangan, tidak melihat keperluan semasa yang memerlukan, disifat tidak munasabah.
“Ini kerana Anwar dikenali berprestasi tinggi pernah menguruskan kewangan dan ekonomi Malaysia surplus budget, iaitu pendapatan melebihi perbelanjaan negara.
“Anwar juga pernah diiktiraf sebagai Menteri Kewangan terbaik dunia oleh Euro Money Magazine dan Menteri Kewangan Terbaik Asia oleh Asia Money Magazine.
“Anwar juga pernah mendapat The Asian of The Year dan Malaysia mendapat gelaran The Asian Tiger kalangan negara Asia ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pelabur asing akan lebih yakin untuk membuat pelaburan apabila Anwar memegang jawatan Menteri Kewangan. – KOSMO! ONLINE.