PETALING JAYA – Di sebalik pengorbanan dan perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ternyata sosok bernama Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sering kali ada bagi memberi sokongan.
Tanggal 3 Disember merupakan ulang tahun kelahiran isteri kepada Perdana Menteri yang mana tahun ini genaplah usia 70 tahun bekas Presiden PKR itu.
Dalam satu hantaran di akaun Instagram Perdana Menteri semalam, beliau turut mengucapkan selamat hari lahir kepada permaisuri hati dan mendoakan agar sentiasa di bawah lindungan Allah.
Jelas Anwar, tanpa isterinya itu, beliau tidak mungkin mampu untuk menggalas amanah berat yang dipikulnya ketika ini.
“Seorang insan, wanita, isteri yang tabah, penyayang dan berbakti. Seorang ibu yang tidak pernah jemu mencurahkan kasih sayang.
“Saya sentiasa bersyukur. Tanpa Azizah di sisi, tidak mungkin saya mampu menggalas amanah yang cukup berat saat ini. Saya berdoa agar Azizah sentiasa di bawah lindunganNya.
“Happy birthday!” tulis Perdana Menteri semalam. – KOSMO! ONLINE