DOHA – Meskipun tidak memiliki nama besar di pentas bola sepak di peringkat global, kelibat pengendali Poland, Czesław Michniewicz sentiasa menghadirkan rasa gerun termasuk pengikut setia bola sepak di Perancis.
Selepas berjaya melepasi aksi Kumpulan C, Poland bakal menjadi ujian sulung buat Perancis untuk mempertahankan kejuaraan ketika kedua-duanya bakal membuat perhitungan di pusingan 16 terbaik di Stadium Al Thumama malam ini.
Sekalipun sering tampil dengan cara membosankan seperti yang sering dimainkan oleh Jose Mourinho, ramai mula sedar yang Michniewicz sudah miliki resipi terbaik hingga mampu bawa pasukan melepasi peringkat kumpulan.
Daripada apa yang dipamerkan pada aksi awal, pendekatan dimainkan Michniewicz dengan menerapkan corak bertahan mula mencetuskan kritikan hingga media di Perancis menggelarkan jurulatih itu dengan panggilan ‘Polish Mourinho’.
Bagi ayam tambatan Poland, Robert Lewandowski, kekalahan Perancis di tangan Tunisia pada perlawanan terakhir Kumpulan D memberikan harapan kepada skuad The White Reds untuk cipta kejutan ke atas juara bertahan itu.
“Perancis adalah pasukan pilihan. Jadi, kami perlu memperbaiki kelemahan pasukan dan berharap kami mampu mencipta masalah kepada mereka terutamanya ketika mengatur serangan.
“Perancis miliki pasukan yang cukup baik, namun kami sudah menyaksikan perlawanan mereka menentang Tunisia. Kami rasa tiada apa yang mustahil,” katanya.
Selain menghamburkan kritikan kepada Michniewicz, laporan RMC Sport juga melancarkan perang psikologi apabila melabel Poland pasukannya yang membosankan hingga Lewandowski menjadi ‘mangsa’ untuk mengikut arahan jurulatihnya dan dipaksa bekerja keras untuk melakukan tugasan bertahan. – AGENSI