AL KHOR – Bekas penyerang Liverpool, El Hadji Diouf mengingatkan para pemain Senegal agar tidak gentar bertemu England menjelang aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2022 di Stadium Al Bayt awal pagi esok.
Penasihat merangkap duta bersama Senegal itu percaya Lions of Teranga mempunyai peluang terbaik untuk mara ke suku akhir, sekali gus mengulangi pencapaian terbaik seperti dilakukannya pada 2002.
Pada masa sama, Diouf, 41, percaya skuad bimbingan Aliou Cisse itu mempunyai ramai bintang berkualiti yang berpengalaman beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Antaranya dua tonggak Chelsea iaitu Edouard Mendy, Kalidou Koulibaly; Idrissa Gueye (Everton); Nampalys Mendy (Leicester City), Cheikhou Kouyate (Nottingham Forest) dan Pape Matar Sarr (Tottenham Hotspur).
“Sudah tentu tiada yang perlu ditakutkan kerana kami memiliki pemain yang bagus. Atas padang nanti adalah 11 lawan 11 dan anda berjuang untuk negara anda.
“Kami di sini bukan untuk mengatakan akan memenangi Piala Dunia tetapi kami mahu menunjukkan kepada dunia kemampuan Senegal. Kami ada penjaga gol terbaik dan ramai pemain muda berbakat besar.
“Inilah peluang terbaik pemain untuk berdepan England, apatah lagi kebanyakannya tinggal di sana dan sudah tentu mahu membuktikan kehebatan mereka,” kata Diouf.
Sebagai rekod, Senegal mara ke pusingan kalah mati sebagai naib juara Kumpulan A di belakang Belanda menerusi dua kemenangan dan satu kalah daripada tiga perlawanan. – AGENSI