DOHA – Kapten pasukan Korea Selatan, Son Heung-min mengakui dia menangis kerana keterujaan melihat pasukan negaranya berjaya melangkah ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia Qatar 2022 selepas membenam Portugal 2-1 awal pagi semalam.
Hasil kemenangan ke atas Portugal, Taegeuk Warriors memastikan Korea Selatan menjadi tiga wakil Asia kekal bersaing dalam kempen Piala Dunia Qatar 2022 apabila muncul naib juara Kumpulan H.
Ini adalah kemenangan kedua Korea Selatan ke atas Portugal di Piala Dunia sejak melakukannya pada edisi 2002 dan kejayaan ini turut menafikan impian bekas juara Eropah itu merakamkan kemenangan bersih di peringkat kumpulan seperti dilakukan semasa penganjuran 1966 dan 2006.
Biarpun penyerang Tottenham, Heung-min yang baru pulih daripada kecederaan masih belum mampu menjaringkan gol pada kempen Piala Dunia, namun dia mencetus gerakan untuk membolehkan rakan sepasukannya, Hwang Hee-Chan menjaringkan gol kemenangan.
“Saya yakin ini adalah air mata kegembiraan. Kami menunggu terlalu lama untuk saat ini dan sebagai pemain kami percaya mampu melakukan dengan baik sebaik sahaja melangkah ke gelanggang berprestij ini.
“Ada ketikanya saya tidak dapat melakukan yang terbaik tetapi saya berterima kasih kepada rakan sepasukan saya kerana mereka dapat melaksanakan tugas saya ketika saya tidak dapat melakukannya dengan baik.
“Saya berbangga dengan apa yang mereka pamerkan setakat ini dan akhirnya kami berjaya lolos pusingan 16 pasukan terbaik di Piala Dunia Qatar 2022,” katanya.
Korea Selatan yang mara pusingan kalah mati buat kali ketiga sepanjang beraksi di Piala Dunia tersebut akan berdepan tugas berat selepas dijadual berdepan Brazil.
“Mara ke pusingan 16 terbaik adalah sasaran kami dan kini kami mempunyai sasaran lebih tinggi. Kami tidak berputus-asa dan akan cuba mencapainya. Jadi, kami akan melakukan persiapan,” ujarnya. – AGENSI