fbpx

‘Runtuhan tebing ancam nyawa kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEGINILAH keadaan sebuah rumah yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Taman Sri Anggerik, Rantau semalam.

SEREMBAN – Kebimbangan penduduk mengenai kejadian tanah runtuh ekoran longkang telah pecah dan tebing rosak ­nyata berasas apabila salah sebuah rumah tiba-tiba mendap ketika hujan lebat dalam kejadian di Taman Seri Anggerik, Rantau di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 3.51 petang itu mengakibatkan bahagian garaj rumah James Ng, 50, runtuh hingga mengakibatkan kerosakan pada kediamannya.

Menceritakan kejadian itu, James berkata, dua minggu lalu dia tidak sedap hati apabila mendapati longkang besar di tepi rumahnya sudah pecah hingga menyebabkan tebing mengalami kerosakan besar.

“Sejak itu, saya tidak lagi meletakkan kenderaan di depan rumah sebaliknya meletak di depan kedai di pekan Rantau.

“Ketika kejadian, saya berada di kedai dan bergegas pulang sebaik menerima panggilan daripada jiran. Sepatutnya pagi tadi (semalam) kawan akan baiki longkang itu tetapi tidak sempat apabila sudah runtuh semalam (kelmarin),” katanya kepada ­Kosmo! ketika ditemui.

Menurut James, dia berharap Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dapat membaiki longkang itu bagi mengelakkan lebih ba­nyak lagi rumah akan rosak di­sebabkan tanah runtuh yang semakin melebar.

Sementara itu, K. Achudan, 63, berkata, dia kini bimbang mengenai keselamatan cucu, anak dan isterinya yang sentiasa berada di rumah ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu selain rumahnya terletak bersebelahan lokasi runtuhan.

Katanya, bomba mengarahkannya supaya berpindah sekiranya runtuhan makin teruk.

“Rumah anak saya ada di Se­remban tapi saya bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah di Rantau. Agak susah juga mahu saya berulang-alik dari Seremban ke Rantau jika terpaksa berpindah,” katanya.

Ujar Achudan, penduduk ada membuat aduan ke MBS tiga bulan lalu mengenai kebimbangan mereka dan tak sangka ia benar-benar terjadi.

Dalam pada itu, Komander Operasi Bomba Seremban, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Izzuwan Abdul Rahim berkata, pihaknya menasihatkan penduduk berpindah sementara selepas melakukan pemeriksaan.

“Runtuhan melibatkan keluasan 10×15 meter dan pihak berkuasa lain sedang melakukan pemeriksaan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI