fbpx

‘Tolong bina semula jambatan yang runtuh ini’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEBERAPA penduduk berusaha membaiki semula jambatan runtuh akibat hujan lebat dan arus deras, namun tidak berhasil di Kampung Tanjung Jerai, Kupang, Baling kelmarin.

BALING- Penduduk Kampung Tanjung Jerai, Kupang di sini merayu kepada kerajaan supaya segera membina semula dua jambatan yang runtuh akibat banjir sekali gus dapat memudahkan urusan dan menjimatkan masa mereka.

Wakil penduduk, Mohd. Noor Awang Kechik, 54, berkata, runtuhan jambatan itu telah menyebabkan kira-kira 3,000 penduduk terpaksa mengambil laluan jauh untuk ke jalan besar atau menghantar anak ke sekolah.

Katanya, jambatan yang dibina pada 1981 itu runtuh akibat arus deras selama dua jam bermula pukul 4 petang kelmarin.

“Jambatan itu menjadi laluan utama penduduk Kampung Tanjung Jerai, Kampung Charuk Kapas dan Kampung Bukit Hijau untuk ke jalan besar.

“Arus deras yang turut membawa batang pokok mengakibatkan jambatan runtuh dan tidak selamat lagi untuk digunakan,” katanya di sini semalam.

Menurut Mohd. Noor, ekoran kejadian itu, penduduk terpaksa menggunakan jalan lain sejauh tiga kilometer berbanding hanya 500 meter untuk ke jalan besar melalui jambatan tersebut.

Tambahnya, selain menjadi penghubung ke masjid dan ta­nah perkuburan Islam, jambatan tersebut juga digunakan untuk menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Syed Sheh dan SK Kampung Sadek.

“Ketika elok, jambatan sepanjang 70 meter itu boleh dilalui oleh kereta dan juga lori enam tayar tetapi kini hanya motosikal sahaja boleh melaluinya,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Yusuf Husain, 62, pula berkata, satu lagi jambatan yang runtuh pada 4 Julai lalu dalam kejadian kepala air belum dibaiki.

“Difahamkan peruntukan untuk membina jambatan baharu bagi menggantikan jambatan yang runtuh itu telah diluluskan oleh kerajaan, jadi kami amat mengharapkan agar ia dibina segera.

“Kami bergotong-royong membinanya semula dengan menggunakan kayu dan papan buat sementara waktu, namun apabila jambatan kedua ini pun runtuh semalam (kelmarin), maka ia amat merumitkan urusan kami,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI