fbpx

Fahami beza antara takut dan fobia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
NOR ERYANI, Wartawan Eksekutif Kosmo!

PERNAHKAH anda berdepan dengan individu yang gemar memandang rendah terhadap orang lain yang mempunyai perasaan ‘takut’ kepada sesuatu?

Contoh mudah adalah takut kepada binatang comel seperti kucing. Memang benar, makhluk kecil yang comel itu sangat di­sayangi, namun sedarkah kita bahawa tidak semua orang boleh mendekatinya.

Bagi mereka yang mempunyai fobia, jangankan menyentuh, melihat kelibat makhluk berbulu itu sahaja sudah cukup membuatkan bulu roma naik.

Atau pernahkah anda menonton aksi seseorang hampir menterbalikkan meja di kedai makan gara-gara takut atau terkejut dengan kehadiran ku­cing yang datang mendekati untuk meminta makanan.

Ketakutan kepada binatang berbulu seperti kucing dikenali sebagai ailurophobia dan itu bukanlah perkara yang boleh dibuat jenaka.

Penulis juga mempunyai ba­nyak fobia antaranya adalah ketakutan kepada binatang berbisa ular dan masalah ini dikenali sebagai ophidiophobia.

Menulis namanya sahaja membuatkan minda terbayang bentuk haiwan itu yang cukup geli dan menggerunkan. Ini dinamakan fobia spesifik yang bermaksud ketakutan kepada sesuatu objek mahupun situasi.

Fahamilah golongan ini sebenarnya malu dipandang sebegitu rupa.

Ada beberapa faktor penting yang menjadi penyumbang kepada penyakit itu seperti pengalaman lalu yang negatif, persekitaran dan genetik serta fungsi otak.

Bagi mereka yang pernah me­lalui pengalaman digigit haiwan ketika kecil boleh menyumbang kepada penyakit fobia terhadap kucing atau kejadian hampir lemas menyebabkan seseorang berasa takut kepada air.

Menurut Pakar Perunding Psikiatri Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Daniel Zainal Abdul Rahman, ada perbezaan antara perasaan takut biasa dan fobia.

Contohnya adalah normal jika golongan kanak-kanak takut kepada sesuatu ketika mereka berumur dua hingga 14 tahun.

“Kanak-kanak gemar berkha­yal dan memikirkan perkara yang ditakuti seperti hantu, raksasa dan keadaan gelap yang sinonim dengan suasana seram.

“Jadi peranan ibu bapa me­layan anak-anak sejak kecil sebenarnya memberi peranan pen­ting dalam tumbesaran mereka. Jangan letakkan benda yang ditakuti di hadapan anak sebab perkara ini akan memberi kesan kepadanya ketika menginjak dewasa,” ujarnya.

Sama seperti masalah kesihatan mental yang lain, penyakit fobia juga boleh dirawat dengan cara mendapatkan bantuan pakar sekiranya situasi yang dialami memberi kesan melampau sehingga menjejaskan rutin harian.

Antara rawatan yang sesuai digunakan kepada si penghidap fobia adalah kaedah tingkah laku dan kognitif (cognitive behaviour therapy) dan terapi pendedahan.

Contohnya seperti teknik pernafasan, meditasi dan cara merehatkan otot kerana kaedah se­perti itu mampu mengawal dan memberikan keyakinan kepada pesakit.

Pada masa sama, masyarakat perlu memainkan peranan dan berfikiran terbuka terhadap isu sosial seperti masalah psikologi yang ada di sekeliling.

Barangkali, ketakutan kepada kucing adalah perkara pelik dan janggal pada diri anda, tetapi tidak kepada penghidap fobia yang sedang bertarung dengan perasaan bimbang melampau.
Pendek kata, hormatilah hidup orang lain kerana kita sememangnya dilahirkan sama tetapi setiap satu warna dalam kehidupan manusia itu sangat berbeza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI