fbpx

Orang George Town resah bekalan air terputus lebih 7 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORITA (kiri) terpaksa membekalkan air mineral untuk tetamu yang hadir di kediamannya di Teluk Kumbar, di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Bekalan air yang terjejas lebih tujuh jam di sekitar bahagian pulau di sini hari ini sekali lagi menyukarkan aktiviti hujung minggu dan urusan harian penduduk setempat.

Gangguan bekalan air yang berlaku secara mengejut bermula pukul enam pagi tadi menyebabkan kebanyakan isi rumah di 35 kawasan dikatakan tidak sempat untuk melakukan sebarang persediaan.

Salah seorang penduduk, Norita Ismail,54, berkata, bekalan air yang terputus tanpa notis amat menyukarkan apatah lagi ketika sedang berlangsungnya kenduri di kediamannya di Teluk Kumbar.

“Saya adakan majlis kesyukuran akikah dan doa selamat sebelum berangkat mengerjakan umrah minggu depan.

“Memang terkejutlah bila tak ada air tiba-tiba, susah juga sebab tanpa sebarang persediaaan, namun mujurlah ada air bukit untuk menampung kegunaan tetamu yang mahu menggunakan tandas dan sebagainya.

“Pihak surau juga ada membantu menyalurkan bekalan air bersih sepanjang majlis,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Siti Ropidah, 69, pula memberitahu, dia tidak sempat menyimpan stok air dan hanya bergantung pada bekalan dalam tangki di rumah.

“Air di tangki mungkin cukup untuk kegunaan dalam tempoh kurang 24 jam sahaja dan jika keadaan masih berlarutan, mungkin kami terputus terus bekalan air seperti yang pernah berlaku awal Julai lalu iaitu lebih 72 jam,” keluhnya.

Terdahulu, sebanyak 35 kawasan di daerah Timur Laut dan Barat Daya mengalami gangguan bekalan air susulan masalah teknikal dalam pengendalian injap di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di sini sejak pukul 6 pagi tadi.

Antara lokasi yang terjejas adalah di Gelugor, Jalan Sultan Azlan Shah, Batu Uban, Jalan Sungai Dua, Jalan Kampung Jawa, Kawasan Perindustrian FTZ/ FIZ, Jalan Tengah, Taman Pekaka, Jalan Aziz Ibrahim, Bukit Jambul dan Bayan Baru.

Turut berdepan masalah sama termasuklah di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, Pulau Jerejak, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas, Persiaran Mayang Pasir, Taman Bukit Dumbar, Batu Maung, Teluk Kumbar, Bukit Gedung, Balik Pulau dan Jalan Tun Dr. Awang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI