KUALA KANGSAR – Restu dan doa ibu menjadi pembakar semangat bagi Wan Afiq Wan Aris Fathillah, 24, yang menerima Anugerah Tuanku Canselor pada Istiadat Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-15 di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.
Wan Afiq yang juga merupakan Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) berkata, sepanjang menuntut di USAS, dia sentiasa mengharapkan sokongan dan dorongan dari ibunya, Azizah Azizi, 63, kerana menyedari betapa pentingnya restu seorang ibu.
“Dalam keadaan apa sekali pun, saya akan mohon keberkatan doa dari ibu kerana nalurinya memainkan peranan dan Alhamdulillah, berkat usaha yang telah saya lakukan diredhai Allah,” katanya kepada pemberita selepas tamat Sidang Kedua Istiadat Konvokesyen ke-15 USAS, di sini hari ini.
Cucu kepada Menteri Besar Perak ketujuh, Allahyarham Datuk Seri Wan Mohamed Wan Teh itu berkata, kehilangan ayahnya, Wan Aris Fathillah Wan Mohamad secara mengejut ketika berusia 15 tahun memberi impak yang besar dalam hidupnya.
“Ketika itu, lebih kurang dua minggu sebelum saya menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
“Perasaan ketika itu sememangnya sangat sedih dan memberi kesan kepada keputusan peperiksaan saya namun berkat doa ibu saya berjaya,” katanya.
Anak bongsu dari empat beradik itu berkata, selain ibunya, dua abang dan seorang kakaknya menjadi tulang belakang keluarga setelah ketiadaan bapa mereka.
“Ibu saya seorang suri rumah. Kakak dan abang-abang yang menampung segala perbelanjaan pengajian saya di sini, termasuklah yuran setiap semester,” katanya.
Katanya, keputusan diploma dengan nilai PNGK 3.13 membakar semangatnya untuk terus berusaha bersungguh-sungguh dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian. – KOSMO! ONLINE