JOHOR BAHRU – Pengguna dan peniaga di sini melahirkan rasa bimbang akan kemungkinan masalah bekalan telur akan berterusan sehingga menjelang musim perayaan Aidilfitri pada tahun depan.
Bekalan telur khususnya gred A masih menjadi isu di beberapa kawasan sekitar bandar raya ini apabila masih sukar didapati sehingga memberi kesan signifikan kepada peniaga khususnya penjual makanan.
Seorang peniaga kek, Nur Aishah Bahari, 35, berkata, kekurangan bekalan telur amat menjejaskan perniagaannya sejak kebelakangan ini.
“Memang susah nak dapatkan telur, lebih-lebih lagi telur ayam gred A. Kadangkala dalam sehari, saya terpaksa pergi ke beberapa kedai di taman berlainan namun masih belum dapat membelinya.
“Buat masa ini, kebanyakan telur di pasaran adalah telur ayam kampung dan ia tidak sesuai dibuat kek. Ada juga yang jual telur omega, tetapi harganya mahal, juga tidak sesuai untuk perniagaan saya.
“Buat waktu ini, keadaan masih sedikit terkawal, tetapi saya bimbang sekiranya situasi ini berlarutan hingga Ramadan dan Syawal kelak ketika permintaan banyak meningkat,” katanya yang menggunakan hampir 10 papan telur gred A seminggu.
Tambah Nur Aishah, kerajaan diharap dapat memastikan bekalan telur mencukupi kerana ramai pihak termasuk dirinya bergantung harap kepada produk tersebut untuk mencari rezeki.
Perkara sama turut disuarakan seorang peniaga burger, Mohd. Azam Zulkarnain, 31, yang terpaksa mengurangkan pengambilan tempahan burger special kerana kesukaran mendapatkan bekalan telur.
“Disebabkan kekurangan bekalan, saya hanya boleh menjual burger biasa tanpa telur. Saya juga tidak boleh mendapatkan bekalan telur secara terus daripada pembekal seperti dahulu atas alasan kurang bekalan,” katanya yang sudah menjadi peniaga burger selama lima tahun.
Sementara itu, Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam pula memaklumkan, pihaknya masih berdepan dengan situasi kekurangan bekalan telur ayam sehingga kini.
“Sebelum ini, memang berlaku kekurangan bekalan, tetapi kami difahamkan ia akibat subsidi rendah yang mana pembekal tidak dapat ‘bertahan’ dengan harga kawalan yang ditetapkan kerana terlalu rendah.
“Tetapi sehingga kini masalah kekurangan bekalan telur masih berterusan.
“Isu ini perlu diselesaikan segera kerana jika berlarutan, mungkin ia akan terus berlaku sehingga bulan puasa dan raya nanti. Jika itu terjadi kita akan menghadapi kekurangan bekalan serius.
“Isu ini serius kerana telur adalah bahan masakan yang penting yang mendapat perhatian tinggi pengguna,” jelasnya.