DOHA – Uruguay berjaya meraih kemenangan moral ke atas Ghana selepas merekodkan keputusan 2-0 pada aksi terakhir Kumpulan H saingan Piala Dunia 2022 di Stadium Al Janoub sebentar tadi.
Pada aksi ‘ulangan suku akhir Piala Dunia 2010’ itu, skuad Ghana masih lagi mempertaruhkan kesebelasan terbaik dengan tonggak Andre Ayew, Mohamed Kudus dan Inaki Williams mengemudi jentera serangan.
Pasukan La Celeste turut melakukan perkara yang sama dengan kombinasi pemain senior, Luis Suarez digandingkan dengan penyerang muda Liverpool, Darwin Nunez selain dibantu Giorgian de Arrascaeta.
Skuad Black Stars meraih peluang terbaik untuk mendahului selepas diberikan sepakan penalti seawal minit ke-17 tetapi kesempatan tersebut disiakan oleh Andre Ayew.
Tuah tersebut digunakan oleh sebaiknya oleh wakil Amerika Selatan itu untuk kembali mendominasi saingan dan akhirnya meraih gol pembukaan menerusi rembatan De Arrascaeta pada minit ke-26.
De Arrascaeta yang juga pemain kelab Flamengo tidak menunggu lama untuk meledak gol kedua peribadinya untuk menewaskan penjaga gol Ghana, Lawrence Ati-Zigi selepas menyudahkan hantaran Suarez berselang enam minit kemudian.
Bersambung pada babak kedua, Uruguay mengendurkan serangan tetapi masih berjaya menguji kubu pasukan lawan hasil percubaan yang dilakukan oleh Federico Valverde menerusi rembatan di luar kotak penalti pada minit ke-70.
Ghana meraih peluang untuk merapatkan kedudukan tetapi rembatan yang dilakukan oleh Kudus pada minit ke-81 berjaya ditepis penjaga gol Uruguay, Sergio Rochet.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi kedudukan 2-0 kekal sehingga wisel penamat.
Keputusan tersebut tidak memberikan sebarang makna buat Uruguay selepas Korea Selatan berjaya menewaskan Portugal untuk memintas kedudukan naib juara Kumpulan H sekali gus mara ke pusingan 16 terbaik. – KOSMO! ONLINE