fbpx

Satu pengiktirafan buat Sarawak, Sabah atas lantikan TPM- Fadillah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadillah

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan, pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi adalah pengiktirafan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan blok Borneo iaitu Sarawak dan Sabah.

Malah beliau berkata, ia satu tanggungjawab besar perlu digalas dengan istiqamah, ikhlas dan jujur demi kestabilan politik, ekonomi dan kemakmuran negara.

“Jawatan ini bukan untuk dibanggakan, tetapi ia amanah rakyat dan negara yang harus dipikul sebaik mungkin.

“Insya-Allah saya akan memikul amanah dan tanggungjawab diberikan ini berpaksikan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mahukan kita memberi keutamaan, komitmen tinggi dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat demi Malaysia yang lebih stabil dan makmur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berharap, semua pihak tanpa mengira bangsa, agama dan merentasi fahaman politik dapat bersama-sama membina Malaysia yang stabil, maju dan makmur berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.

Sementara itu, Fadillah turut mengucapkan syukur kepada Allah atas pelantikan beliau ke jawatan tersebut di dalam Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berkuat kuasa selepas istiadat angkat sumpah esok.

“Menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Mustain Billah di atas kebijaksanaan dan nasihat baginda yang telah membawa kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan demi menyelesaikan kemelut politik negara.

“Tahniah Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10 dan terima kasih di atas kepercayaan diberikan kepada saya untuk menjalankan amanah ini demi negara,” katanya.

Selain itu, beliau turut memberi penghargaan dan terima kasih kepads Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Pengerusi GPS serta seluruh pimpinan parti, Ahli-Ahli Parlimen Sarawak, ahli-ahli parti dan rakyat Sarawak di atas kepercayaan yang diberi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI