fbpx

[VIDEO] Pengantinmu, suamiku!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LUSAKA, Zambia – Seorang wanita meluru masuk ke sebuah gereja dan mendesak agar satu majlis perkahwinan yang sedang berlangsung dihentikan serta-merta kerana pengantin lelaki itu adalah suaminya.

Media tempatan melaporkan majlis itu berlangsung di sebuah gereja Roman Katholik di Chainda, dekat sini. Pengantin lelaki itu pula dikenali sebagai Abraham Muyunda.

Akhbar Daily Mail melaporkan, Muyunda dikatakan memberitahu isteri bahawa dia akan keluar ke bandar untuk urusan kerja, sebaliknya ke gereja itu bersama bakal isteri baharu.

Isteri Muyunda mengetahui rancangan perkahwinan itu selepas dimaklumkan oleh jiran kepada pengantin perempuan. Dia bergegas ke gereja untuk menghalang majlis perkahwinan itu, lapor Zambian Observer.

Satu klip video yang disunting menunjukkan keadaan kecoh pada majlis perkahwinan itu dan tular di Internet sejak beberapa hari lalu.

“Perkahwinan ini tidak boleh diteruskan. Lelaki ini suami saya,” kata wanita itu kepada tetamu yang berkumpul dalam gereja itu.

Pengumuman wanita itu membuatkan semua tetamu tergamam manakala pengantin lelaki cuma berpeluk tubuh sambil sebelah tangan memegang dagu.

Pengantin perempuan pula tiada mempamerkan sebarang reaksi tetapi sekadar memandang ke arah isteri Muyunda.

“Lelaki ini suami saya. Kami belum bercerai. Kami tidak pernah bergaduh dan saya tidak tahu apa yang sedang berlaku di sini,” tambahnya.

Berdasarkan rakaman, wanita itu membawa seorang bayi dalam beg pengusung yang diikat pada belakang badannya. Beberapa anak lain pasangan itu turut berada di luar gereja.

Laporan media juga menyatakan Muyunda kini ditahan polis di sebuah balai berdekatan manakala pihak keluarga mengadakan perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian.

Media mendedahkan bahawa pengantin perempuan itu sebenarnya sudah sedia maklum bahawa Muyunda sudah berkahwin.

Laporan tempatan menyatakan Muyunda mempunyai tiga anak dan bekerja di Agensi Penguatkuasaan Perolehan Zambia.

Lelaki itu boleh berdepan didakwa atas kesalahan bigami iaitu kesalahan berkahwin dengan orang lain pada ketika masih bergelar suami atau isteri kepada individu lain.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Zambia ada dua sistem perkahwinan berbeza iaitu undang-undang statut moden dan undang-undang adat.

Undang-undang moden tidak membenarkan poligami atau mana-mana individu yang ada suami atau isteri untuk berkahwin. Jika diteruskan, mereka boleh didakwa.

Muyunda boleh dipenjara sehingga tujuh tahun jika didapati bersalah atas dakwaan bigami. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI