PETALING JAYA – Seramai 26 peserta profesional dari dalam dan luar negara bakal menyertai Kuala Lumpur International Fight (KL Fight) di Stadium Nasional Bukit Jalil selama dua hari bermula esok.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KL Fight, Mohd Faizul Mat Alewi, berkata, peserta-peserta tersebut melibatkan pelbagai negara antaranya Thailand, Kemboja, Indonesia, Iran, Morocco, Spain and Perancis.
“Penganjuran program itu bertujuan untuk menjadi platform antarabangsa bagi acara berkaitan muay thai selain mempromosikan Malaysia sebagai tempat sukan antarabangsa.
“Kami berharap program ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat dan penggemar sukan muay thai negara selain menyaksikan sendiri kehebatan peserta-peserta tempatan serta luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Program dua hari itu dianjurkan oleh PIC Event & Training, hasil kerjasama antara Federasi Muaythai International (IFMA) bersama Persatuan Muay Thai Malaysia.
Orang ramai juga berpeluang menyertai program berasaskan sukan elektronik (esport) seperti kejohanan permainan Tekken dan Streetfighter selain Asia Food Festivals yang melibatkan 30 vendor makanan.
Tiket dijual pada harga RM30, RM50 dan RM150 untuk dewasa dan percuma untuk kanak-kanak bawah 12 tahun bagi menyaksikan pertarungan bertaraf antarabangsa itu. – KOSMO! ONLINE