IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang pertama Isnin depan.
Beliau berkata, mesyuarat itu nanti akan membincangkan beberapa peraturan baharu yang perlu diikuti barisan jemaah menteri di bawah pimpinannya.
“Bagi saya keutamaan sebaik disusun Jemaah Menteri, saya akan panggil mesyuarat khas Isnin ini untuk tetapkan beberapa peraturan baharu.
“(Ini termasuk) cara mereka mengurus kementerian iaitu bagaimana mereka berdamping dan bekerjasama dengan penjawat awam serta cara mereka berjimat untuk tidak berbelanja lebih daripada sepatutnya,” katanya ketika berucap pada program Kenduri Rakyat bersama Perdana Menteri Malaysia di Taman Jati di sini hari ini.
Menurut Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, tumpuan kerajaan pimpinannya kini adalah untuk memulihkan ekonomi negara.
“Tumpuan kita sekarang adalah untuk memulihkan ekonomi. Ringgit (kini) diperkuat, apa maknanya ringgit diperkuat? Maknanya kos import akan lebih murah, tidak terlalu mahal.
“Apabila kos import itu dapat dikurangkan maka kos barang makanan ayam ternakan, baja juga dapat dikurangkan. Insya-Allah, ia boleh kurangkan kos (lain), sebab itu keyakinan itu penting,” katanya. – KOSMO! ONLINE