PETALING JAYA – EP Manufacturing Berhad (EPMB) telah melantik pakar produk automotif, Lim Sim Yee sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, berkuat kuasa hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, Sim Yee yang sebelum ini pernah terlibat dalam mengembangkan kehadiran pasaran Mercedes-Benz di China, akan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan EPMB merentas keseluruhan perniagaannya.
“Kepakaran beliau dalam pembangunan perniagaan dan strategi produk juga akan memainkan peranan penting ketika EPMB mengejar cita-cita menjadi pengeluar kenderaan elektrik (EV) dan kredit karbonnya,” jelasnya.
Wanita berusia 46 tahun itu sebelum ini telah berkhidmat selama lebih sedekad di BeijingMercedes-Benz Sales Services Co. Ltd (BMBS) di bawah peranan yang berbeza.
BMBS adalah syarikat usaha sama antara Daimler AG dan BAIC Motor. -KOSMO! ONLINE