MAINE, New Hampshire – Seorang bekas pekerja syarikat piza ditahan susulan satu rakaman video menunjukkan dia dipercayai memasukkan bilah pisau cukur ke dalam doh roti yang dijual di sebuah pasar raya di Amerika Syarikat.
Portal Mirror UK semalam melaporkan polis berjaya mengenal pasti suspek sebagai Nicholas R. Mitchell berumur 38 tahun berdasarkan rakaman video berkenaan.
Klip video itu menunjukkan seorang lelaki mengusik bungkusan produk Portland Pie Pizza di sebuah pasar raya di Maine, negeri New Hampshire.
Polis menyatakan suspek pernah bekerja untuk syarikat It’ll Be Pizza yang menghasilkan produk doh berkenaan.
Perbuatan itu terbongkar selepas seorang pelanggan membeli doh di Pasar Raya Hannaford di bandar Saco, Maine dan mendapati ia mengandungi bilah pisau cukur pada 6 Oktober lalu, menurut Jabatan Polis Saco.
Satu waran tangkap dikeluarkan dan suspek ditahan pada Isnin lalu.
Pengendali akaun Facebook Polis Saco memuat naik satu kenyataan berhubung tangkapan itu.
“Anggota dari Jabatan Polis New Hampshire berjaya menjejak Nicholas Mitchell dan menahannya menurut satu waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya berkait kes bilah pisau cukur dalam doh piza Portland Pie di (pasar raya) Hannaford.”
Setakat ini, motif di sebalik perbuatan Mitchell masih belum didedahkan. Rantaian Pasar Raya Hannaford memanggil balik semua produk doh piza dan keju Portland Pie yang dijual antara 1 Ogos hingga 11 Oktober lalu.
Semua pelanggan yang memulangkan produk tersebut akan menerima bayaran balik wang.
Polis juga mengesahkan pihak pengurusan pasar raya itu sudah mengeluarkan semua produk Portland Pie daripada rak jualan susulan kes tersebut. – Agensi