BRISBANE, AUSTRALIA – Seorang lelaki di Australia terpaksa akur apabila semua lesen memandunya digantung enam bulan selepas menunggang skuter elektronik (e-skuter) pada kelajuan 94 kilometer sejam (km/j), lapor portal berita MailOnline semalam.
Lelaki tersebut, Owen Bagi, 36, memintas sebuah lagi e-skuter yang ditunggang lelaki lain, Scott Lewis, dalam kejadian di Western Freeway, Brisbane pada 12 September lalu.
Bagi ketika itu menunggang e-skuter Dragon Warrior X11 yang diiklankan sebagai kenderaan ‘off-road’ yang berkeupayaan seperti motosikal serta mampu mencapai kelajuan 100 km/j.
Aksinya dirakam oleh kamera milik Lewis yang terkejut lalu bertindak menghantar rakaman itu kepada pihak berkuasa Oktober lepas sebelum polis berjaya mengenal pasti identiti Bagi.
Polis mendakwa lelaki tersebut bagi kesalahan mengendalikan kenderaan bermotor secara berbahaya selepas memutuskan bahawa denda maksimum yang digariskan pihak berkuasa Queensland sebanyak AUD$575 (RM1,729) adalah tidak cukup tegas.
Bagi dihadapkan ke mahkamah dan memberitahu majistret bahawa dia menunggang dengan kelajuan 48 km/j ketika memintas Lewis namun, memecut sehingga lebih 90 km/j apabila tiada sesiapa berhampirannya.
Menurut Bagi, dia menunggang dengan laju kerana perlu pergi bekerja.
Bagi dijatuhi hukuman denda minimum bagi kesalahan memandu secara berbahaya iaitu hilang kelayakan memandu selama enam bulan bagi semua lesen memandunya.
“Saya merisikokan diri dan boleh menyebabkan diri tercedera namun, pada akhirnya saya hanya seorang lelaki yang takut serta cuba menyiapkan kerja,” kata Bagi. – Agensi