ARAU – Mantan Menteri Besar Perlis, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh, 78, meninggal dunia kira-kira pukul 3.15 petang tadi.
Berita pemergian Allahyarham Abdul Hamid dikongsi menerusi hantaran anak perempuannya, Natasya Pawanteh di laman sosial Facebook.
Jenazah Allahyarham dijadualkan dikebumikan di perkuburan Makam Diraja Lama berhadapan Masjid Negeri di sini selepas solat Jumaat esok.
Allahyarham Abdul Hamid memegang jawatan sebagai Menteri Besar Perlis keempat dari tahun 1986 hingga 1995.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara dari tahun 2003 hingga 2009 selain menjadi Ahli Parlimen Arau dan Kangar.
Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli mengucapkan takziah atas pemergian Allahyarham di akaun Facebook rasminya sebentar tadi. – KOSMO! ONLINE