GEORGE TOWN – Bekalan telur ayam yang ketika ini didakwa mula banyak di pasaran sebenarnya stok lama yang ‘diperam’ peniaga berikutan tidak mahu bekalan berkenaan terputus secara tiba-tiba.
Namun langkah sebenarnya turut menekan pengguna apabila telur yang dibeli hanya mampu bertahan antara dua hingga tiga hari sahaja.
Seorang pembekal yang mahu dikenali sebagai Ahmad Shah, 39, berkata, pihaknya sehingga ke hari ini masih berdepan masalah kekurangan stok telur ayam bagi kesemua gred A, B, C dan D sejak lebih dua bulan lalu.
Dakwanya, disebabkan kekurangan yang serius bekalan keperluan itu diperingkat ladang telah memaksa sebahagian pihak pembekal menghentikan operasi penghantaran buat seketika baru-baru ini.
“Setahu saya, telur ayam tidak disorok dan memang berlaku kekurangan sejak lebih dua bulan lalu sehingga ada pihak pembekal menghentikan pengedaran kepada peniaga termasuk pengusaha kek peniaga di pasar.
Berita berkaitan: Telur banyak tapi harga melambung cecah RM18 sepapan
“Dakwaan telur ayam kembali banyak di pasaran ketika ini bukannya disebabkan pembentukan kerajaan perpaduan mahupun pelantikan Perdana Menteri baharu.
“Telur ayam yang banyak dijual di pasaran ketika ini dikatakan stok lama yang hampir rosak dan hanya mampu bertahan untuk digunakan antara dua hingga tiga hari sahaja.
“Jika ada stok baharu, itu memang nasiblah,” katanya kepada Kosmo! di sini.
Berita berkaitan:
Jelasnya, isu kekurangan bekalan telur ayam sememangnya turut memberi kesan langsung kepada pembekal barangan utama itu apabila buat pertama kalinya dia terpaksa bercuti daripada menghantar stok kepada pelanggan Sabtu lalu.
“Memang telur ayam sukar diperoleh di sini ketika ini. Di kedai-kedai runcit pun susah melainkan telur omega selain jualannya juga terhad kepada 10 biji sehingga satu papan sahaja untuk satu keluarga,” tambahnya.
Semalam, Kosmo! melaporkan bekalan telur ayam dijangka kekal berkurangan dan sukar diperolehi dalam pasaran tempatan sehingga tahun depan.