CHANGLUN – “Tolong doakan untuk Danish. Keadaannya masih kritikal.”
Demikian rayu Nor Zuraidah Zainon, 29, ibu kepada Wan Aliff Danish Wan Mohamad Naim, 11, yang kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dekat sini akibat dihempap tiang elektrik di Kampung Belukar, di sini Selasa lalu.
Ujarnya, anak sulungnya itu masih bertarung nyawa ekoran kecederaan parah akibat insiden mengorbankan seorang rakannya.
Berita berkaitan: Luluh hati tengok cucu bawah tiang elektrik
“Danish masih tak sedarkan diri. Doktor maklumkan dia cedera pada badan termasuk pendarahan paru-paru selain tulang pipi retak. Saya hanya mampu berdoa agar dia kembali sedar walaupun peluang cuma 50-50.
“Saya harap semua dapat mendoakan Danish,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Terdahulu, Nor Zuraidah dan suaminya, Wan Mohamad Naim Wan Fadzilah, 30, yang juga merupakan peniaga menerima kunjungan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang hadir menghulurkan sumbangan.
Berita berkaitan: Kayu lapik tiang elektrik patah semasa tiga mangsa bermain
Dalam kejadian itu, Muhammad Aqil Wafiq Ruslizan, 10, maut akibat kecederaan parah setelah dihempap tiang elektrik konkrit dipercayai seberat 800 kilogram ketika bermain di kawasan berkenaan.
Seorang lagi mangsa, Wan Faiz Ikram Wan Zaidy, 13, cedera pada bahagian badan dan menerima rawatan di wad biasa HSB.
Menurutnya, Wan Faiz Ikram yang juga merupakan anak saudaranya pula masih berada dalam keadaan trauma dan ketakutan akibat insiden tersebut.
“Faiz menceritakan detik-detik cemas itu kepada kami dengan menggigil kerana dia lihat sepupunya, Danish dan rakannya, Aqil, dihempap depan mata.
“Dia cerita dia sempat melompat keluar daripada runtuhan tiang yang bergolek itu sebelum menjerit minta tolong,” katanya.
Menurut Wan Mohamad Naim, ketika kejadian dia dan isterinya baru pulang berniaga di pekan Changlun sebelum terdengar bunyi dentuman dan riuh rendah dari kawasan longgokan tiang elektrik itu.
“Saya cuma dengar suara Faiz meminta tolong dan terus ke lokasi. Saya lihat orang ramai membantu menahan tiang elektrik itu daripada terus menghimpit Danish dan Aqil,” katanya.