fbpx

Muzik hati, simbolik ‘jiwa perkasa’ Bihzhu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SINGLE baharu Bihzhu diinspirasikan daripada semangat kebersamaan rakyat Malaysia semasa banjir tahun lalu.

MUNGKIN agak kurang dikenali di negara sendiri, tetapi realitinya penyanyi dan komposer Bihzhu pernah mencipta nama di negara asing seperti di China dan Korea Selatan.

Bihzhu atau sebutannya berbunyi Bee Choo, kini mara dalam kariernya selaku penyanyi dengan single terbaharu berjudul Jiwa Perkasa.

Istimewanya, lagu tersebut dihasilkan selepas dia terlibat dalam bantuan kemanusiaan ketika Shah Alam, Selangor dan ibu kota dilanda banjir teruk tahun lalu.

Situasi saling membantu dan muafakat antara semua bangsa menjentik naluri Bihzhu tentang betapa indahnya Malaysia dengan sikap penyayang dan kebersamaan rakyat.

“Muzik juga mempunyai tujuan yang lebih besar dan saya berpeluang melakukan apa saya mahu.

“Ketabahan semangat orang Malaysia adalah salah satu perkara yang paling saya sukai. Ini adalah fakta bahawa kita melakukan pengorbanan dan kadangkala bukan saja fizikal tetapi mental, emosi serta rohani,” katanya.

Pada masa sama, Bihzhu menganggap lagu Jiwa Perkasa memiliki kekuatan tersembunyi tentang diri manusia.

“Kadangkala kita suka meletakkan harapan dan jangkaan pada orang lain dengan berfikir, itu adalah penyelesaian untuk masalah.

“Hakikatnya kita sebenarnya adalah wira kita sendiri. Saya, anda, kita rakyat biasa. Kitalah yang mempunyai Jiwa Perkasa yang sebenar,” ujar penyanyi asal Pulau Pinang itu.

Muzik ‘hati’

Bekerja sebagai penyanyi dan pemuzik profesional sejak 17 tahun lalu, usaha Bihzhu bergerak solo hanya bermula sejak 2011 selepas dipilih menjadi sebahagian daripada lima artis untuk kempen sebuah jenama biskut terkenal.

Selama menjadi artis, terbit persoalan tentang genre yang mahu dijadikan landasan muziknya.

Jelas Bihzhu, muziknya merentasi banyak genre dan dia baru sahaja mencipta sebuah ‘muzik hati’ kerana merasakan rentak sebegitu mewakili apa yang diciptanya.

“Selepas begitu banyak soalan tentang jenis muzik yang saya mainkan, saya cipta ‘muzik hati’. Bukankah bahasa muzik itu universal,” katanya.

Menceritakan lanjut tentang perjalanan seninya, Bihzhu berkata, segalanya bermula apabila diperkenalkan dengan seorang komposer, mendiang Jimmy Boyle oleh Paul Augustin dari Penang House of Music.

“Jimmy bertanya, sama ada saya mahu menyanyikan lagu Chendering bersama anaknya, James Boyle.

“Saya jatuh cinta dengan lagu itu dan terus minta kumpulan saya membantu menyusunnya semula. Tidak lama kemudian saya menyanyikan lagu tersebut secara langsung di Penang Island Jazz Festival bersama James,” ceritanya.

Lebih manis, Chendering dicalonkan dalam Anugerah Industri Muzik pada tahun ini biarpun kemenangan tidak memihak kepadanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI