PETALING JAYA – Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berharap agar Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlaku adil kepada semua Ahli Parlimen BN.
Tegas Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu, pemilihan wakil UMNO dalam kerajaan wajar mengikut keutamaan hierarki partinya dan dengan reda kepimpinannya.
“UMNO tidak harus dipandang enteng atau “to be taken for granted”.
“UMNO juga tidak harus diterima separuh-separuh. Umpama semangkuk gulai, jangan kuah diambil tapi isi nak dibuang,” kiasnya di laman Facebook hari ini.
Annuar berkata, UMNO melalui keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) telah membuat keputusan tuntas menyertai Kerajaan Perpaduan.
Justeru kata beliau, ia keputusan parti yang wajar dihormati, bukan sahaja oleh ahlinya, tetapi juga oleh Perdana Menteri yang mengetuai Kerajaan Perpaduan.
“Kabinet mesti berupa gabungan yang mampu menggalas tugas yang mencabar selepas ini.
“Yang penting Perdana Menteri perlu mempunyai pasukan berkerja yang mantap dan berwibawa. Rakyat menanti sesuatu yang baik untuk semua, sudah lama rakyat menanti,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE